JOHOR BAHRU: Calon Bebas Parlimen Pulai, Samsudin Mohamad Fauzi mengumumkan penubuhan Sekretariat Gabungan Wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantu kempennya.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) berkata, sekretariat tersebut disertai 30 NGO yang berpusat di bandar raya ini.
Beliau juga akan mengumumkan manifesto buat penduduk Parlimen Pulai pada 7 September ini dalam usaha menarik lebih banyak sokongan.
“Kami mahu mewujudkan suara NGO di dalam Parlimen. Suara ini perlulah bebas daripada sebarang parti politik kerana kita lebih rapat dengan masyarakat dan memahami keperitan dan cabaran hidup mereka selama ini.
“Dua calon yang mewakili gabungan parti politik besar tanah air dilihat lebih sibuk bergaduh antara satu sama lain sehingga mereka lupa matlamat sebenar untuk meningkatkan tahap kehidupan rakyat.
“Disebabkan itu, kita akan perkenalkan manifesto pada Khamis ini yang bertujuan untuk membantu menghapuskan kemiskinan bandar, khususnya buat golongan B40,” katanya dalam sidang akhbar di restoran LC Catering, di sini hari ini.
Samsudin berkata, sepanjang tempoh seminggu berkempen, beliau telah menerima banyak aduan rakyat di peringkat akar umbi tentang masalah mereka yang perlu bantuan untuk diselesaikan.
“Fokus kita dalam kempen ini adalah dengan menyantuni golongan B40 yang menetap kawasan pinggir bandar, kampung-kampung serta PPR (Projek Perumahan Rakyat) di sekitar Parlimen Pulai.
“Permintaan utama mereka adalah bantuan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan bagi memberi masa depan lebih baik buat anak-anak mereka. Jadi manifesto kami akan beri tumpuan terhadap perkara tersebut,” jelasnya.