JOHOR BAHRU: Hujan lebat di beberapa kawasan tidak menghalang orang ramai keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pagi ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Indah, di sini mendapati cuaca mendung dan disusuli hujan lebat bermula pukul 9.30 pagi.
Beberapa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat membantu para pengundi yang tiba dengan memayungi dan membawa mereka masuk ke pusat pengundian.
Seorang pengundi, Tamill Chilvan, 57, dari Taman Nusa Bistari mengambil kesempatan untuk keluar awal mengundi.
“Saya sampai pukul 9 pagi tadi dan bila dah selesai undi nak balik rumah, tiba-tiba hujan lebat. Saya bersyukur kerana telah selesai menunaikan tanggungjawab saya,” katanya.
Terdahulu, SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram hari ini melebihi 70 peratus.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN