JOHOR BAHRU: Sarjan Mejar Harudin Md. Sari, 49, yang tiba di pusat mengundi di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua seawal pukul 7.30 pagi menjadi individu pertama menunaikan tanggungjawabnya mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, hari ini.
Walaupun mengalami masalah kesihatan, bukan penghalang baginya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.
“Saya tiba seawal pukul 7.30 pagi sebab saya ada masalah kesihatan, saya ada sakit masalah tulang belakang (slip disc) dan bertugas hari ini.
“Saya mula mengundi ketika berusia 24 tahun pada 1998 dan di Parlimen Pulai ini sudah mengundi sebanyak dua kali,” katanya ketika ditemui di PPM Wilayah Dua, di sini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan terdapat seramai 927 pegawai dan anggota daripada tiga Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) dan sebuah pasukan formasi Polis Diraja Malaysia (PRDM), iaitu PPM Wilayah Dua menunaikan tanggungjawab mengundi awal hari ini.
PRK Parlimen Pulai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PH, Suhaizan Kayat; calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN