Polis N. Sembilan rampas dadah bernilai RM80,000, tangkap 124 individu - Utusan Malaysia

Polis N. Sembilan rampas dadah bernilai RM80,000, tangkap 124 individu

SEBAHAGIAN individu yang ditangkap pada Op Tapis Bersepadu yang diadakan di sekitar daerah Jempol pada 6 dan 7 September lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM80,000 dan menyita harta dianggarkan bernilai RM16,000 melalui Op Tapis Bersepadu dalam tempoh dua hari operasi itu diadakan di sekitar daerah Jempol.

Operasi pada pada 6 dan 7 September lalu itu turut berjaya menangkap seramai 124 individu membabitkan pelbagai kesalahan merangkumi kategori bekalan, memiliki dadah, penyalahgunaan dadah dan penagihan dadah.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, operasi itu dijalankan membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman.

“Seramai 24 orang suspek ditangkap membabitkan kategori bekalan iaitu mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A (1) dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Seramai 12 suspek pula ditangkap mengikut Seksyen 12(3) serta Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 kerana memiliki dadah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jelas Ahmad Dzaffir lagi, tangkapan paling banyak adalah membabitkan penyalahgunaan dadah dan penagihan dadah iaitu sebanyak 88 tangkapan. 

Menurutnya, polis juga mengambil tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (LLPK) 1985 serta Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada 28 suspek.

“Selain itu, polis berjaya merampas 123.02 gram heroin, 415.02 ketamin, 73.33 gram ganja, 37.5 liter air ketum, 0.120 liter cecair ganja, 1.6 gram pil erimin 5 dan syabu seberat 2.04 gram.

Sementara itu Ahmad Dzaffir berkata,bagi tempoh Januari sehingga 10 September lalu, seramai 132 orang pengedar dadah dan 3,241 orang penagih dadah berjaya ditangkap di seluruh Negeri Sembilan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN