Pesona Konsert Irama Etnika Tradisional Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Pesona Konsert Irama Etnika Tradisional Negeri Sembilan

KUMPULAN Tumbuk Kalang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mohd. Taha, Gemencheh, Tampin mengadakan persembahan dalam Konsert Irama Etnika Tradisional Negeri Sembilan 2023 di Seremban malam tadi.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Alunan muzik Neo-Tradisisme bergema di Auditorium D’Sury di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri di sini malam tadi sempena Konsert Irama Etnika Tradisional Negeri Sembilan 2023.

Lebih 500 penonton yang datang dari seluruh negeri ini tidak berganjak selama hampir dua jam menyaksikan seramai 47 pemuzik yang menggunakan 28 jenis alat muzik tradisional dan moden mengadunkan 15 lagu dalam konsert tersebut yang dipelopori oleh Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan.

Para penonton dihiburkan dengan nyanyian oleh Abu Bakar Mustaffa (Ulong Bakar), Helmi Halim, Hazlin Ismail, Nen Tebabo dan Isma AF selain persembahan tarian tradisional.

Antara lagu tradisional Negeri Sembilan yang dipersembahkan ialah Anak Bocek, Bongai, Tumbuk Kalang manakala tujuh lagu Neo-Tradisime ialah Pulang, Tanah Keramat, Rindu, Pulanglah Adiak, Ayam Den Lapeh, Anak Nogori dan Rindu Berzaman.

Turut mengadakan persembahan ialah kumpulan muzik klasik India dan okestra Cina oleh Soka Gakkai Malaysia.

Konsert itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon.

Pengarah konsert itu, Prof. Madya Dr. Ahmadrashidi Hasan berkata, Neo-Tradisisme ialah gabungan muzik tradisional dan kontemporari dengan menghasilkan semula lagu tradisional Negeri Sembilan dalam bentuk baharu dan terkini tanpa mengabaikan nilai tradisinya.

Beliau yang juga pengasas kelab teater tersebut berkata, tujuannya ialah untuk memastikan irama tradisional negeri ini daripada genre Bongai, Tumbuk Kalang dan Cak Lempong terus kekal dan digemari oleh generasi muda hari ini.

Sementara itu, Nicole gembira dengan penganjuran konsert tersebut dan berikrar kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada aktiviti muzik tradisional dari negeri ini.

Berdasarkan kepada sambutan penonton konsert, katanya, muzik tradisional Negeri Sembilan mampu menarik sokongan orang ramai termasuk golongan muda selain menjana sektor pelancongan di negeri ini.

“Saya yakin konsert ini mampu melestari dan memartabatkan seni muzik warisan Negeri Sembilan dengan menampilkan lagu tradisional dalam bentuk kontemporari untuk disesuaikan dengan selera muzik pada zaman ini serta menghargai para pejuang budaya,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya