MUAR: Tindakan segelintir pemimpin politik yang terus memainkan isu agama, raja dan kaum (3R) dalam ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram wajar dipersoal dan dipertikaikan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan, pelbagai isu 3R sudah diperjelas dan dipertahankan menerusi Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kewujudan Perlembagaan memastikan soal-soal berkaitan 3R tidak perlu menjadi persoalan mana-mana pihak.
“Kita kena ada kematangan dalam politik, perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan telah disepakati sejak dulu lagi, jadi tidak perlu disentuh terutama perkara berkaitan 3R oleh sesiapa pun.
“Tidak kira parti mana pun, untuk menjadi pemimpin parti yang matang dan bijaksana, soal-soal berkaitan 3R tidak perlu disentuh. Begitu juga soal-soal yang boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat supaya kita dapat memanfaatkan kebijaksanaan dan kematangan dalam politik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Veteran Polis Bakri di sini, hari ini.
Tambah Shamsul Anuar, beliau menasihati semua pihak supaya tidak menyentuh isu 3R kerana pelaku perlu bertanggungjawab jika ada tindakan diambil, tanpa perlu menyalahkan sesiapa.
“Sebab itu, jadi pemimpin parti perlu bertanggungjawab dan matang, jadi kena elakkan isu 3R, demi keharmonian dan kemakmuran negara. Laksana dan amalkan politik dalam demokrasi matang supaya nampak kita bijaksana.
“Siapa juga dalam negara ini yang langgar peraturan, dia mesti berhadapan undang-undang ada sebab kita nak ada kestabilan negara. Undang-undang ada tapi kalau tindakan tidak diambil, nanti rakyat melihat kita membenarkan perkara-perkara melanggar undang-undang,” katanya.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau tetap akan bersuara mengenai isu 3R walaupun sudah sembilan kali dipanggil polis untuk tujuan siasatan.
Dr. Mahathir juga menyifatkan, beliau terbuka dan seolah-olah tidak takut dengan sebarang tindakan pihak berkuasa. – UTUSAN