JOHOR BAHRU: Perawat kecantikan yang menjalankan prosedur pembedahan payudara terhadap seorang suri rumah yang maut bulan lalu masih gagal dikesan pihak berkuasa hingga kini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah menjalankan siasatan dan mencari individu tersebut, namun dia gagal ditemukan di kediamannya di Taman Mutiara Rini, Skudai, di sini.
“Nombor telefon peribadi dan juga akaun media sosial perawat kecantikan itu juga sudah dipadamkan, menyebabkan usaha mencari individu berkenaan menemui jalan buntu.
“Sehubungan itu, pihak berkuasa memberi individu berkenaan tempoh satu minggu untuk tampil dan membantu siasatan yang dijalankan JKNJ. Selain itu, kami juga meminta kerjasama awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan wanita berkenaan,” katanya selepas majlis penyerahan peruntukan kerajaan negeri kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Foon Yew, di sini hari ini.
Tian Soon.berkata, jika masih berdegil dan enggan memberikan kerjasama, pihaknya akan meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengesan dan menahan wanita berkenaan.
“Siasatan awal mendapati premis rawatan kecantikan itu tidak berlesen dan kediaman tersebut disewa sebelum dijadikan pusat rawatan kecantikan,” katanya.
Pada 29 Julai lalu, seorang suri rumah, Tan Wei Shan, 29, dilaporkan maut selepas menjalani prosedur membesarkan payudara di premis berkenaan. – UTUSAN