PORT DICKSON: Polis menahan seorang penunggang motosikal yang didakwa merempuh anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kejadian di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson di sini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 25 tahun dan mempunyai lapan rekod melibatkan dadah dan jenayah.
“Suspek juga didapati tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Port Dickson esok untuk proses tahan reman.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, video kejadian tersebut turut tular di media sosial sejak petang tadi.
Aidi Sham dalam pada itu memberitahu, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 12.51 tengah hari tadi.
Katanya, kejadian tersebut berlaku semasa penguat kuasa JPJ sedang menjalankan operasi sekatan jalan raya dan motosikal yang dinaiki suspek secara tiba-tiba dipandu laju dipercayai untuk meloloskan diri dan merempuh mangsa semasa ingin membuat pemeriksaan.
“Anggota JPJ tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan kerana mengalami kecederaan kecil di bahagian kaki dan tangan.
“Bagaimanapun tiada kecederaan serius yang dialami dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.
Sementara itu JPJ menerusi kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku pada pukul 11 pagi.
Menurut kenyataan itu, hasil daripada siasatan, penunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR itu masih mempunyai dua senarai hitam aktif dan telah diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu lesen kenderaan motor tamat tempoh pada 18 Julai 2012, tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu kompeten dan sita. – UTUSAN