Negeri Sembilan perlu ada kilang pengeluaran beras sendiri - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan perlu ada kilang pengeluaran beras sendiri

JALALUDDIN Alias (baris depan, empat dari kanan) bersama menyertai acara fun walk Majlis Pelancaran Jelajah Fit Malaysia 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan perlu mempunyai kilang pengeluaran beras sendiri sebagai salah satu rancangan jangka masa panjang bagi menangani isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia merupakan langkah yang boleh diambil di peringkat kerajaan negeri selain menggiatkan penanaman padi di beberapa daerah di negeri ini.

“Kita mesti mempunyai rancangan jangka masa panjang, dua ke lima tahun, di Negeri Sembilan harus mempunyai stok makanan yang mencukupi untuk rakyat.

“Kemungkinan akan dilihat, kita akan mempunyai kilang pengeluaran beras bagi menampung keperluan rakyat di Negeri Sembilan dengan harga sesuai pada keadaan dan waktu itu nanti.

“Pada masa yang sama, program penanaman padi akan digiatkan lagi terutama di daerah Kuala Pilah, Jelebu, Jempol dan juga di Gemas,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Jelajah Fit Malaysia 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Jalaluddin menambah, menerusi jawatankuasa yang dipengerusikannya itu, beliau akan membentangkan rancangan induk berkaitan Program Jaminan Keselamatan Makanan di negeri ini.

Jelas beliau, rancangan itu sudah tentu akan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi sebagai satu tindakan awal bagi menghadapi isu-isu bekalan makanan kelak.

“Ia termasuk berkaitan pemulihan tanah-tanah terbiar dan keduanya kawasan-kawasan pertanian yang sedang diusahakan namun tanpa menerima bantuan sepenuhnya, sebagai contoh ada yang mahu mengusahakan tanah sawah tetapi bekalan air tidak mencukupi jadi itu perlukan kerjasama antara jabatan termasuk bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“(Rancangan induk) ini bukan hanya (berkaitan beras) secara keseluruhan tentang makanan asas, minyak, gula, tepung, daging dan ayam. Kita tidak mahu apabila masalah timbul kita hanya selesaikan pada waktu itu sahaja, kita harus bergerak dan fikirkan perancangan masa hadapan, ambil langkah awal,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya