Najib gagal batal injunksi mareva 1MDB

Najib gagal batal injunksi mareva 1MDB

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal membatalkan perintah injunksi mareva kedua yang dimohon 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perintah injunksi Mareva adalah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Pada 6 Disember 2022, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk membatalkan perintah injunksi Mareva yang diperoleh SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, untuk menghalang beliau daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.

Pada prosiding semalam, Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad memutuskan demikian selepas mendapati permohonan injunksi yang dimohon oleh 1MDB adalah wajar.

“Berdasarkan bukti dan hujah yang dikemukakan, plaintif (1MDB dan anak-anak syarikatnya) telah memenuhi piawaian yang diperlukan.

“Merujuk kepada sama ada terdapat risiko yang benar dan material terhadap pelupusan aset, Mahkamah ini mendapati bukti yang dikemukakan dan disokong dengan penghakiman dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. boleh memberikan rumusan sedemikian.

“Selain itu, tindakan defendan pertama (Najib) tidak mendedahkan aset-asetnya termasuk keterangan bercanggah mengenai RM140 juta dan RM41 juta dalam akaunnya, turut menunjukkan risiko pelupusan aset (oleh Najib),” katanya.

Merujuk kepada dakwaan Najib bahawa perintah injunksi mareva yang kedua ini merupakan satu penindasan, Hakim Atan Mustaffa menyatakan dakwaan itu tidak mempunyai merit.

Menurut hakim itu, penghakiman dalam kes-kes terdahulu menunjukkan bahawa injunksi yang diberikan adalah berdasarkan fakta dan disokong dengan perundangan.

“Lebih penting lagi, dalam kes hari ini ia melibatkan jumlah AS$681 juta yang jauh lebih tinggi daripada jumlah injunksi mareva dalam saman SRC INternational iaitu sebanyak RM42 juta,” katanya.

Selain itu, Hakim Atan Mustaffa ketika membaca penghakiman ringkasnya menyatakan 1MDB telah menunjukkan rujukan kes yang baik terhadap Najib berhubung setiap tindakannya, antaranya selaku pengarah bayangan, Najib bertanggungjawab secara fidusiari kepada 1MDB.

Bagaimanapun, 1MDB telah menunjukkan bahawa Najib telah kewajipan itu dengan mengalihkan dana, terutamanya melesapkan AS$681 juta daripada bon berjumlah AS$3 bilion ke dalam akaun peribadinya.

“Persoalannya ialah sama ada terdapat risiko sebenar bahawa defendan akan melesapkan asetnya sebelum penghakiman dibuat terhadapnya. Ia adalah asas dalam permohonan injunksi Mareva, iaitu pemohon membuktikan, dan bukan setakat menegaskan memang terdapat risiko sedemikian.

“1MDB berjaya menunjukkan Najib ketika berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, melakukan penyelewengan dalam jawatan awam dengan menyalahgunakan kuasanya iaitu mengarahkan pengisuan bon pada tahun 2013, yang menyebabkan penyelewengan AS$1,592 bilion termasuk pemindahan AS$681 juta ke akaun peribadinya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN