PETALING JAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersedia menghadapi kemungkinan banjir besar terutama di negeri-negeri di pantai timur mulai November ini dengan mengemaskini kekuatan sumber manusia dan aset-aset yang akan digerakkan.
Setiap tahun Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dilanda musim tengkujuh manakala negeri-negeri lain di pantai barat dan utara adakala turut terkesan dengan peralihan Monsun Timur Laut.
Ketika ini hingga November, Malaysia dalam fasa peralihan monsun menyebabkan beberapa negeri seperti Kedah, Perlis dan Selangor dilanda ribut petir dan hujan lebat sehingga sesetengah kawasan dilanda banjir.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, walaupun pada Monsun Timur Laut banjir biasanya melanda pantai timur tetapi NADMA membuat persiapan meliputi seluruh negara.
Menurut beliau, tahun lepas kekuatan NADMA dengan turut dibantu badan bukan kerajaan ( NGO) dan sukarelawan membabitkan hampir 80,000.
“Tahun ini kekuatan petugas banjir masih dalam peringkat dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana pusat untuk mengumpul kekuatan dan aset-aset terutama bot untuk digerakkan ketika operasi menyelamat.
“NADMA akan memberi taklimat dan latihan kepada NGO untuk menyelaraskan pergerakan semua petugas banjir di satu-satu kawasan di setiap negeri,” kata beliau.
BANJIR
Khairul berkata, bagi memastikan mangsa banjir dapat diuruskan dengan baik, NADMA sedang mengenal pasti lokasi di setiap negeri atau daerah yang boleh dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
Kata beliau, berdasarkan rekod kejadian banjir setiap tahun, terdapat 89 daerah di seluruh negara berisiko berlaku banjir seperti tahun lalu
“Namun 77 daripada 89 daerah tersebut mengalami banjir secara berulang kali ketika tempoh Monsun Timur Laut,” kata beliau.
Kata beliau, NADMA akan mengikuti ramalan METMalaysia bagi mengetahui perkembangan kemungkinan berlaku banjir bagi melicinkan operasi membantu mangsa.
Sebagai rekod, dalam tempoh 19 hingga 25 September lalu, beberapa lokasi di empat negeri iaitu Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak dilanda banjir dengan empat PPS dibuka membabitkan 292 orang dipindah dalam tempoh itu.
Tahun lepas, sebanyak 1,515 PPS disediakan di lapan negeri dan terdapat 251,799 mangsa banjir dipindah.
Oleh itu, NADMA menasihatkan penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir perlu berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan berpindah sekiranya diarahkan.
BENCANA
Sementara itu, Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, Malaysia perlu mewujudkan Pusat Kajian Bencana Geologi Kebangsaan sebagai usaha untuk mengenali fenomena dan bencana geologi bagi mengurangkan impak risiko bencana dan mengorbankan nyawa.
Menurut beliau, pusat tersebut akan menjalankan kajian dan mengumpul data ‘bencana geologi di Malaysia’; membuat analisis bencana di Asia Tenggara untuk maklumat awam, dan mengikuti perkembangan bencana geologi di peringkat global.
Ia akan berfungsi sebagai pusat rujukan maklumat bencana geologi dan bencana baharu muncul termasuk menjalankan kajian forensik bagi menentukan faktor penyebab bencana.
Kata beliau, ia melibatkan kajian Bencana Geologi seperti tanah runtuh, aliran serpihan atau banjir, gempa bumi, volkano, dan pemendapan tanah (sinkholes) yang melibatkan bencana alam yang berpunca daripada proses geologi.
Bencana alam boleh dikelaskan kepada tiga iaitu bencana geologi, bencana iklim dan bencana teknologi dan bencana alam utama di Malaysia ialah bencana geologi. – UTUSAN










