KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud mengemukakan saman ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas dan Kota Lama berkait fitnah yang mengatakan beliau membawa fitrah takfiri.
Mohd. Nasuruddin berkata, sebagai permulaan surat saman itu telah dihantar kepada peguam yang mewakili ADUN Galas Mohd. Syahbuddin Hasyim semalam.
“Selepas ini giliran ADUN Kota Lama (Dr. Hafidzah Mustakim) pula akan menerima surat tersebut. Selain itu, saya akan menghantar surat kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.
“Bila mereka menyebut saya membawa fitrah takfiri ertinya mereka telah menuduh saya mengkafirkan orang..saya saman mereka,” katanya semasa ditemui pemberita selepas Majlis Mengangkat Sumpah ADUN Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.
ADUN Meranti itu memberitahu, beliau tidak menyebut perkataan yang dimaksudkan oleh ketiga-tiga pemimpin tersebut.
Katanya, sejak memberi kuliah agama sama ada di masjid atau pondok bermula usia 21 hingga sekarang 58 tahun beliau tidak pernah sekalipun mengkafirkan sesiapa.
“Kerana saya tahu akibat mengkafirkan orang, kalau orang itu tidak kafir, kafir itu kembali kepada orang yang menuduh,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Mohd. Syahbuddin Hasyim dan Dr. Hafidzah menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Mohd. Nassuruddin Daud yang melabelkan mereka sebagai melawan perjuangan Islam.
Kedua-dua wakil itu turut meminta ADUN Meranti memohon maaf kepada semua pengundi di Galas dan Kota Lama yang telah menyokong BN (10,742) dan PH (9,691) di kawasan berkenaan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu.
Mohd. Syahbuddin berkata, kenyataan menentang Pas sama seperti menentang perjuangan Islam adalah budaya takfiri yang boleh memecahbelahkan rakyat dan masyarakat.
Terdahulu Mohd. Nassaruddin melabelkan kemenangan gabungan BN dan PH di Galas serta Kota Lama sebagai melawan perjuangan Islam semasa menyampaikan kuliah di Dataran Ilmu, di sini.
Ucapan ADUN Meranti itu kemudian tular sehingga menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan warganet di laman sosial.-UTUSAN