SEREMBAN: Sebanyak lima projek baharu rancangan tebatan banjir (RTB) di Negeri Sembilan telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan dan ia akan mula dilaksanakan selewat-lewatnya awal tahun hadapan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, apabila kesemua projek itu siap yang dijangka pada tahun 2030, ia akan dapat menyelesaikan masalah banjir di yang sering berlaku di daerah terlibat.
“Ia satu berita yang baik dan saya berharap kelulusan baharu ini akan dapat dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini dan awal tahun depan. Kosnya tidak dapat diperincikan sedang diuruskan dengan tender juga sedang dibuka.
“Sebelum ini kita mengambil tindakan jangka pendek dengan memberikan projek mengorek sungai di beberapa kawasan bagi mengurangkan banjir di Seremban dan jangka panjangnya saya yakin dengan adanya projek RTB ini ia juga dapat mengurangkan kesan banjir di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Menteri Besar berkata, lima projek RTB itu adalah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Pedas, Rembau; RTB Sungai Raya, Linggi, Port Dickson; RTB Sungai Solok, Linggi, Port Dickson; RTB Sungai Jelai, Kuala Pilah dan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Linggi, Fasa Lima dari Rantau ke Ampangan di daerah Seremban.
Sementara itu, Aminuddin memberitahu, projek jambatan Sungai Sepang yang menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang di Selangor juga telah diluluskan kerajaan Persekutuan.
“Kita harap dengan adanya pembinaan projek berkenaan akan dapat merancakkan lagi pembangunan di negeri ini,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan sekiranya terdapat rancangan untuk membina semula Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang sebelum ini telah dibatalkan.
“Kita dapat makluman bahawa projek ini akan diteruskan dan kerajaan negeri amat mengalu-alukannya kerana dapat merangsang pembangunan ekonomi,” tambahnya.
Perbincangan mengenai projek HSR timbul semula ekoran lima syarikat dipercayai disenarai pendek untuk meneruskan projek itu.
Terdahulu Malaysia dan Singapura memutuskan HSR dibatalkan selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir pada 31 Disember 2020 dengan Malaysia terpaksa membayar pampasan berjumlah RM320.27 juta kepada Singapura.-UTUSAN.