Lembah Klang perlu lebih ramai pemandu bas awam - Utusan Malaysia

Lembah Klang perlu lebih ramai pemandu bas awam

ANTHONY Loke Siew Fook (dua dari kanan) beramah mesra bersama peserta Program Kerjaya@Pengangkutan yang berlangsung di Nilai, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kawasan Lembah Klang memerlukan lebih ramai pemandu bas bagi menampung keperluan perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan tersebut ketika ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan mempunyai perancangan untuk memastikan sistem perkhidmatan bas awam khususnya di Lembah Klang berjalan dengan efisien dan salah satu langkah yang diambil adalah menerusi menambah lebih banyak bas.

Jelas beliau, pihak syarikat Prasarana kini mempunyai kira-kira 800 buah Bas Rapid dan ia akan ditambah sehingga 1,000 buah menjelang akhir tahun ini dan seterusnya ditambah lagi secara berperingkat pada tahun hadapan.

“Bas memang kita ada, bukan hanya menerusi selenggara bas-bas lama supaya boleh beroperasi tetapi kita juga akan mendapatkan bas yang baharu dengan kaedah beli ataupun sewa.

“Kita akan tambah bilangan bas tetapi kalau ada bas yang mencukupi tetapi pemandu pula tidak cukup, juga menjadi masalah. Itu masalah besar yang kita hadapi terutamanya pihak Prasarana iaitu kekurangan pemandu.

“Kita memerlukan ramai pemandu sebab tidak boleh satu bas satu pemandu. Perlu lebih ramai pemandu berbanding bas sebab perlu ada yang bercuti, cuti kecemasan, bergilir-gilir, memang memerlukan bilangan pemandu bas yang ramai untuk pastikan perkhidmatan pengangkutan bas kita lebih baik di Lembah Klang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kerjaya@Pengangkutan di Nilai, Seremban hari ini.

Anthony Loke dalam pada itu memberitahu, kerjaya sebagai pemandu bas merupakan antara yang kerja yang mempunyai banyak kekosongan dalam bidang pengangkutan di negara ini.

“Sebenarnya banyak peluang dalam sektor pengangkutan yang boleh ditawarkan kepada rakyat dan kepada orang muda yang ingin libatkan diri dalam bidang pengangkutan, kita memerlukan ramai pekerja dalam bidang ini.

“Memang kita kekurangan dan tidak cukup pemandu bas dan tren sekarang ini. Oleh itu, kita mahu meningkatkan taraf pemandu bas ini menjadi pemandu yang kompeten dengan gaji dan insentif, elaun tambahan yang ditawarkan 

“Kita mahu lahirkan pemandu-pemandu yang kompeten supaya mereka bukan sahaja dapat memandu dengan cermat tetapi juga dapat berikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat khususnya di Lembah Klang,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak 2,232 kekosongan jawatan ditawarkan dalam program kerjaya yang diadakan selama dua hari itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN