KOTA BHARU: Seorang lelaki yang maut di tembakan dalam kejadian di tepi jalan hadapan sebuah bengkel kenderaan di Jalan Hutan Kuin, Machang dekat sini kelmarin mempunyai rekod jenayah dan dadah.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati suspek yang terlibat dalam kes tersebut merupakan dua orang lelaki tidak dikenali dan menaiki kereta jenis Honda berwarna putih.
Menurutnya, selain itu nombor pendaftaran kereta yang dinaiki kedua-dua suspek semasa kejadian tidak dapat dikenal pasti.
“Suspek telah melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah tingkap pemandu trak pikap terbabit.
“Tembakan itu menyebabkan mangsa yang berada di kerusi pemandu trak pikap itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, mangsa yang ditemukan mati itu berusia 38 tahun dan merupakan seorang peniaga.
Katanya, motif sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat.
“Kes disiasat dibawah Sek 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut diminta untuk tampil membantu pihak polis dengan menghubungi balai polis berdekatan,” ujarnya.
Utusan Online semalam melaporkan, seorang pemilik bengkel ditemukan maut selepas dipercayai terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan oleh sekumpulan lelaki yang menaiki dua buah kereta dalam kejadian di hadapan sebuah premis alat ganti kenderaan di Kampung Hutan Kuin di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa meninggal dunia di tempat duduk pemandu sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton.
Saksi kejadian, Mohd. Zulkarnain Abdullah, 27, berkata dia menyedari kejadian itu selepas terdengar tiga das tembakan secara berturut-turut.-UTUSAN