SEREMBAN: Undang-undang termasuk aspek penguatkuasaan yang diambil dan dilaksanakan sudah cukup tegas sebagai tindakan terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan termasuk kepada pemandu lori dan treler di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, oleh itu, tidak sepatutnya timbul isu kerajaan tidak mengambil tindakan tegas dalam isu membabitkan pemandu lori malahan seringkali tindakan yang sangat tegas yang diambil itu turut menimbulkan rungutan dalam kalangan pengusaha lori.
“Memang penguatkuasaan berjalan dengan sepanjang masa dan ketat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terutamaya lori-lori yang membawa muatan berlebihan, sudah tentu perkara ini bukan mudah untuk diselesaikan, kami tahu kebimbangan orang ramai terhadap kemalangan yang berlaku, kami akan terus pantau dan ambil tindakan.
“Ramai kata tidak tegas, apa yang kita tidak tegas? pada masa yang sama pengusaha lori kata kita terlalu tegas, sampai sita lori, lesen dibatalkan itu memang tegas daripada segi undang-undang jalan raya.
“Mereka semberono kata JPJ tidak ambil tindakan tegas, tahukah mereka dalam peraturan sedia ada memang tindakan dan undang-undang itu cukup tegas, kalau didapati mengambil lebihan muatan bukan hanya boleh disaman malahan lori itu boleh disita, dilucutkan hak mik mereka, memang ada kes di mahkamah sekarang,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kerjaya@Pengangkutan di Nilai, Seremban hari ini.

Anthony Loke dalam pada itu berkata, kerana terdapat rungutan dalam kalangan pengusaha lori berhubung penguatkuasaan dan tindakan yang sangat tegas diambil itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu berkenaan dengan lebih menyeluruh.
“Kita mahu ada pendekatan yang lebih menyeluruh untuk pastikan ada keseimbangan daripada segi keperluan industri dan keselamatan jalan raya. Itu yang sedang kita rencana dan bincang untuk atasi masalah ini.
“Pada masa yang sama, penguatkuasaan memang berterusan, JPJ tidak pernah berhenti daripada segi penguatkuasaan, saya tidak pernah minta mereka berhenti untuk jalankan penguatkuasaan. Saya akan akan berbincang dengan JPJ untuk melihat bagaimana kita boleh buat penguatkuasaan yang lebih efektif.
“Memang ini reaksi daripada pelbagai pihak apabila adanya kemalangan berlaku dan kata tidak ada undang-undang yang tidak tegas, itu tidak betul, undang-undang kita yang sedia cukup tegas,” ujar beliau lagi.-UTUSAN.










