KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoal jika wakil-wakil rakyat pembangkang ‘dibisukan’ dalam Dewan Rakyat kerana tidak boleh mengkritik kerajaan.
Katanya, jika benar pembangkang dilakukan sedemikian, ini membuatkan isu melibatkan kepentingan rakyat sukar dibangkitkan termasuk usul pembangkang meminta supaya Peguam Negara menjelaskan keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah.
Sebelum itu, beberapa ahli Parlimen membangkitkan semula persoalan mengenai usul tergempar dibawa Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal yang telah ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Usul tersebut berhubung permohonan supaya Peguam Negara menjelaskan mengenai keputusan penarikan balik 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid.
Selama beberapa minit pertikaian oleh pembangkang termasuk Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahuddin Hashim berkata, DAP sendiri pernah meminta supaya Peguam Negara menjelaskan isu tersebut.
Beliau juga enggan Johari mewakili ‘kerajaan pembohong’ kerana tiba-tiba memungkiri janji memberi ruang pembangkang bercakap tentang perkara itu.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin kemudian tidak berpuas hati dengan gelaran itu dan menggunakan Perkara 36(6) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat menuntut supaya menarik semula kenyataan itu kerana mengeluarkan sangkaan jahat.
Awang Solahuddin: DAP sendiri sebut Peguam Negara perlu jelaskan isu yang telah dibicarakan. Jadi, saya mahu menjaga nama baik speaker, apabila janji tiba-tiba nafikan. Saya tidak mahulah kata speaker ini mewakili kerajaan pembohong.
Tze Tzin: Saya mahu Pendang tarik balik, ini satu sangkaan jahat dan di bawah Perkara 36(6).
Syed Saddiq: Berdasarkan peraturan ini, kita tidak tujukan kritikan terhadap seseorang ahli. Tetapi kerajaan secara keseluruhan kerana realitinya, ini adalah pembohongan terbesar peringkat nasional. Sebelum kata mahu lawan rasuah, tidak akan gugurkan kes, akan penjarakan kleptokrat, tapi hari ini membebaskan mereka.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq memberi contoh, pada 2015, seramai 70 ahli Parlimen yang pernah berada di blok pembangkang dan kini berada di blok kerajaan membangkitkan banyak perkara seperti keputusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan serangan terhadap Peguam Negara ketika itu.
“Seramai 70 Ahli Parlimen dalam dewan ini di blok pembangkang yang ingin bicarakan soal keputusan hakim di mahkamah, sebelum ini keputusan 1MDB, serangan ke atas Peguam Negara semua boleh mereka bangkitkan, tetapi kini berada di kedudukan kerajaan, hipokrit!” katanya. – UTUSAN










