YAN: Kerajaan negeri Kedah mempelawa syarikat-syarikat dari dalam atau luar negara untuk membina kilang pemprosesan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, setakat ini sudah menerima tawaran pelaburan daripada sebuah syarikat yang memiliki kepakaran dalam bidang berasaskan REE.
Katanya, syarikat itu menyatakan hasrat untuk bekerjasama dalam menjadikan Kedah sebagai hab pemprosesan akhir produk mereka khususnya bagi pasaran Asia, Eropah dan Asia Barat.
“Kita sudah tawarkan beberapa kawasan tapak industri untuk pembinaan kilang REE di Gurun dekat Kuala Muda, Padang Meha dan Sungai Ular di Kulim. Kita ada tapak kawasan tanah industri milik PKNK dan swasta untuk bangunkan kilang REE,” katanya selepas merasmikan Majlis Tuaian Projek Padi Benih Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Padang Lumat, semalam.
Muhammad Sanusi berkata, Kedah menyambut baik cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah REE yang disifatkan mampu memberi impak besar kepada kemajuan negara.
Beliau berfkata, kerajaan negeri pernah membangkitkan cadangan yang sama termasuk membuka kilang REE di negeri ini sejak setahun lalu.
“Itu juga (larangan eksport REE) hasrat kerajaan negeri. Saya sudah umum setahun dahulu. Hasrat kita nak kilang buka di sini tahun lepas, sebab itu kita lambat tak apa, tak ada prosedur operasi standard (SOP) pun tak apa. Kita tak kalut, yang kalut yang curi REE itu,” katanya.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Kajian Separuh Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) bahawa kerajaan akan membangunkan dasar tersebut bagi mengelak eksploitasi dan kehilangan sumber REE sekali gus menjamin pulangan kepada negara.
“Kedah berterima kasih di atas pengumuman dasar-dasar itu. Kawasan ini dipilih berdasarkan kedudukan yang strategik. Bila kerajaan ada keputusan macam itu, mahu tak mahu teknologi akan berpindah masuk ke sini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menegaskan, beliau bersedia disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu kecurian REE di Bukit Enggang, Sik.
“Saya tunggu dia (SPRM) panggil. Saya tidak ada masalah dengan SPRM. Nanti, dia panggil. Saya pergi. Bukan sekali ini sahaja. Polis panggil dulu, itu panggil hari-hari (dan) tidak ada isu apa-apa. Debar pun tidak ada,” katanya. – UTUSAN










