ISKANDAR PUTERI: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan tugas sukar menewaskan Negeri Sembilan FC 4-1 pada aksi kedua suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail (SSI), di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mara ke pusingan separuh akhir dengan agregat 7-1.
Pada perlawanan itu, skuad kendalian Esteban Solari mempamerkan penguasaan sejak minit pertama sehingga menekan pasukan pelawat untuk lebih banyak bertahan.
Pasukan tuan rumah tidak mengambil masa lama untuk membuka jaringan apabila Bergson Da Silva mencetak jaringan pada minit keenam, memanfaatkan hantaran silang Juan Muniz ke dalam kotak penalti.
Gol itu merupakan jaringan ke-100 buat penyerang kelahiran Brazil itu bersama JDT setelah membuat 90 penampilan.
Penyerang berusia 32 tahun itu tidak menunggu lama untuk menambah jaringan peribadinya apabila meledak gol kedua, juga menerusi tandukan yang berpunca daripada sepakan bebas Muniz pada minit ke-11.
JDT meneruskan asakan untuk melebarkan kedudukan dan hampir mencipta jaringan pada minit ke-18 menerusi sepakan voli Takahiro Kunimoto, namun percubaan itu sedikit tersasar ke sebelah kanan pintu gol.
Setelah membuat dua bantuan gol, Muniz akhirnya meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila menjaringkan gol menerusi sepakan percuma menewaskan Firdaus Irman Mohd. Fadhil buat kali ketiga pada minit ke-29.
Bergson hampir melengkapkan hatrik pada pertemuan itu, namun rembatan jarak jauh berjaya menewaskan penjaga gol, namun sekadar menggegar palang gol Negeri Sembilan pada minit ke-34.
Walaupun peluang buat skuad Hobin Jang Hobin tampak hampir tertutup, skuad kendalian K. Devan tetap tidak mengalah, malah mengintai peluang untuk mengurangkan defisit pada aksi kedua suku akhir itu.
Pada minit ke-39, skuad Rusa akhirnya berjaya mencipta jaringan menerusi Zamri Pin Ramli yang membuat rembatan deras dari sudut sukar untuk menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.
Pada penghujung babak pertama, Muniz hampir menambah jaringan peribadinya, namun sepakan percuma yang diambil pada minit ke-43 berjaya ditepis keluar oleh Firdaus Irman bagi mengelakkan gawang dibolosi.
Bersambung babak kedua, Solari membuat pertukaran dengan membawa masuk tiga pemain penyerang, Diogo Luis Santo, Arif Aiman Hanapi dan Fernando Forestieri bagi menambah bisa jentera serangan.
Kemasukan trio itu berjaya mengucar-ngacirkan dan mendatangkan resah buat pasukan pelawat, namun tiada jaringan yang dapat dijelmakan.
Dalam pada itu, pasukan pelawat terus bersemangat untuk mengatur serangan balas, namun serangan itu sia-sia setelah tidak ada sentuhan penyudah yang tajam.
Pada minit ke-77, Diogo berjaya menambah gol dengan menolak rembatan Arif Aiman, namun jaringan itu dibatalkan setelah penyerang berusia 36 tahun itu berada di kedudukan ofsaid.
Pada minit ke-81, Arif Aiman berpeluang untuk melakukan percubaan ke arah pintu gol, namun sepakan yang dilakukan tepat ke arah dakapan penjaga gol.
Pada minit ke-87, Forestieri hampir mencipta sensasi dengan melakukan rembatan dari sudut sukar, namun sepakan yang diambil sekadar singgah ke palang gol Negeri Sembilan.
Pada penghujung babak permainan, Forestieri berjaya memperoleh gol yang diburu apabila mendapat umpanan cantik Diogo sebelum mudah memperdaya penjaga gol sebelum melepaskan rembatan ke gawang yang tak dikawal.
JDT melangkah ke pusingan separuh akhir dan akan berdepan pasukan Perak FC atau Sabah FC yang akan membuat perhitungan pada Isnin ini. – UTUSAN