ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengorak langkah sumbang apabila tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale pada aksi pembukaan Liga Juara-juara Asia (ACL) Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini sebentar tadi.
Jaringan akrobatik Marcinho pada penghujung babak pertama menjadi pemusnah bagi skuad Harimau Selatan yang berhasrat membalas dendam terhadap kelab dari Jepun itu.
Beraksi di hadapan hampir 25,000 penonton, skuad kendalian Esteban Solari dilihat berdepan tentangan hebat pasukan lawan yang tidak membenarkan pasukan tuan rumah mendominasi ruang tengah.
Pasukan kendalian Toru Oniki berpeluang mencipta gol pada minit ke-13, namun sepakan percuma yang diambil Yasuto Wakizaka tersekat di benteng tuan rumah.
Pada minit ke-17, giliran JDT cuba mengancam kubu lawan menerusi sepakan percuma Juan Muniz yang ditanduk oleh Bergson Da Silva, namun tidak tepat ke arah pintu gol pasukan pelawat.

Benteng pertahanan Kawasaki Frontale sekali lagi diasak pada minit ke-21 menerusi larian lincah Arif Aiman Hanapi dari sayap kanan ke dalam kotak penalti, namun berjaya dihalang penjaga gol, Jung Sung-ryong, menyebabkan pemain JDT mendakwa Arif Aiman dikasari penjaga gol lawan.
Pengadil perlawanan Abdulrahman Al-Jassim dari Qatar mengesahkan tiada kekasaran terhadap Arif Aiman oleh Sung-ryong setelah meneliti sistem video bantuan pengadil (VAR).
Pada minit ke-31, kem Harimau Selatan sedikit cemas selepas Marcinho pantas merampas bola daripada Shane Lowry dan melakukan percubaan ke arah gawang lawan, tetapi sempat dihalang penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan dikeluarkan kapten Jordi Amat sebelum bola itu menerjah ke pintu gol.
JDT hampir memecahkan kebuntuan dua minit berselang menerusi rembatan deras Bergson dari luar kotak penalti, namun Sung-ryong telah bersedia melayangkan badan untuk menafikan percubaan penyerang Brazil itu.
Ketika perlawanan babak pertama hampir berakhir, kelekaan benteng tuan rumah dihukum pasukan lawan setelah sepakan lambung Wakizaka berjaya ditanduk oleh Tatsuki Seko dan Marcinho yang tidak dikawal melakukan sepakan gunting menerjah jaring yang tak dikawal Ahmad Syihan.
Bersambung babak kedua, Marcinho hampir menambah gol peribadinya pada minit ke-47 setelah mendapat umpanan cantik ke dalam kotak penalti, namun tolakan yang dibuat sedikit tersasar.

Gawang Harimau Selatan sekali lagi cemas apabila Seko membuat sepakan lambung melewati penjaga gol, namun Shane Lowry tangkas meluru ke pintu gol bagi mengeluarkan bola daripada menerjah jaring.
JDT cuba bangkit pada perlawanan itu setelah melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan, malangnya rembatan yang dilakukan Bergson sedikit tersasar.
Marcinho yang kerap berapa di sayap kiri berjaya meletakkan dirinya dalam kedudukan terbaik untuk mencipta gol, namun tandukan terbang yang dilakukan sedikit tersasar pada minit ke-65.
Bergson yang cemerlang di pintu gol pada musim ini sekali lagi terlepas peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila hantaran lambung Corbin Ong gagal disempurnakan pada minit ke-71.
JDT dilihat semakin terdesak untuk memburu gol bagi menyamakan kedudukan, namun percubaan yang dilakukan skuad kendalian Solari itu tidak berjaya membuahkan hasil.
Ketika menghampiri minit ke-90 permainan, JDT mempunyai peluang keemasan untuk mendapatkan gol penyamaan namun sepakan bebas diambil Juan Muniz sedikit tersasar melewati palang gol.
Percubaan terakhir Bergson pada masa kecederaan jauh tersasar dari pintu gol lawan, sekali gus menamatkan malam duka bagi Harimau Selatan. – UTUSAN