Henti siasatan terpilih isu 3R – Muhyiddin

Henti siasatan terpilih isu 3R – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang menggesa supaya kerajaan menghentikan tindakan siasatan dan pendakwaan terpilih atas alasan menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) demi ‘menutup’ mulut rakyat.

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, beliau telah disiasat beberapa kali oleh polis dan berdepan pendakwaan jenayah semata-mata menyuarakan keresahan orang Melayu dan penganut agama Islam.

Namun, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, pemimpin di pihak kerajaan yang mengeluarkan kenyataan yang jelas memainkan sentimen perkauman langsung tidak di­sentuh walaupun ratusan laporan polis dibuat ke atas mereka.

“Apakah saya sebagai pemimpin Melayu dianggap sebagai penjenayah semata-mata kerana menyuarakan kepentingan orang Melayu dan Islam?

“Sejak bila pemimpin Melayu di negara ini sudah tidak boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu dan Islam? Penjajah British telah lama meninggalkan tanah air kita.

“Tetapi nampaknya dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani hari ini lebih teruk daripada dasar penjajah,” kata­nya semasa perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Ranca­ngan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat semalam.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyifatkan perkataan ‘tatakelola’ atau tadbir urus yang menjadi tanda dagang (trademark) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah bertukar menjadi ‘tatakelaut’.

Ia ekoran keraguan Ahli Parlimen Pagoh itu terhadap kemampuan Anwar untuk mengotakan janjinya seperti dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Isnin lalu.

Katanya, kecurigaan itu semakin membuak-buak apabila Anwar memetik hadis yang menyentuh sifat ‘amanah’ dalam usaha merealisasikan KSP RMK12.

“Salah satu anjakan besar kajian separuh penggal yang dibentang, dinyatakan strategi untuk memperkukuh tatakelola dan integriti bagi membina semula kepercayaan dan keyakinan rakyat.

“Tambun (Anwar) semasa pembentangan RMK12 memetik hadis berkenaan dengan sifat amanah. Pernyataan ini baik tetapi saya sangsi dengan kemampuan beliau untuk mengotakan apa yang dikata.

“Tatakelola katanya sudah menjadi ‘tatakelaut’. Tidak sampai setahun jadi kerajaan, janji-janji reformasi yang dicanang sepanjang lebih 20 tahun dahulu sudah jadi ‘reformati’,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, terdapat juga janji kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri menyaksikan Anwar mengumumkan pelaksanaan

Projek Pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang dan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang.

“Kedua-duanya di negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan. Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang berada di negeri Perikatan Nasional (PN) langsung tidak disebut.

“Begitu juga janji menyediakan peruntukan sama rata bagi semua Ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang tidak dilaksana. Di mana sifat amanah, adil dan integritinya,” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN