Guru didakwa buat gangguan seksual pada murid - Utusan Malaysia

Guru didakwa buat gangguan seksual pada murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang guru disyaki mengumpan anak murid lelakinya dengan membawa bermalam di hotel sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh kepada kanak-kanak tersebut .

Difahamkan mangsa berusia 12 tahun itu sudah beberapa kali diperlakukan sedemikian namun hanya diketahui keluarganya sekitar Julai lalu.

Menurut sumber, ibu mangsa berusia 40-an terkejut apabila melihat video perbuatan guru lelaki tersebut yang dihantar kepada anaknya.

“Anaknya kemudian menceritakan apa yang berlaku iaitu dia dipaksa guru terbabit.

“Terbaru suspek sekali lagi membawa anaknya ke sebuah hotel lain di Genting Highlands pada 8 September  selepas habis waktu sekolah,” katanya.

Sumber berkata, ibu mangsa menghubungi guru terbabit selepas menyedari anaknya tidak pulang namun suspek memberitahu dalam perjalanan ke sana bersama anaknya.

“Malah ibunya turut meminta guru terbabit menghantar anaknya pulang  namun tidak diendahkan.

“Susulan itu, dia melaporkan perkara itu kepada pihak sekolah sebelum pengurusan sekolah menasihatkan ibu mangsa  membuat laporan polis,” katanya.

Ibu mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Petaling kelmarin untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) akta kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 (pindaan 2023),” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN