KOTA BHARU: Ketiadaan pasukan pembangkang yang kuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama di Kelantan dan Kedah dilihat tidak sihat untuk sistem demokrasi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Marwan Ismail berkata, pembangkang yang kuat diperlukan bagi memastikan peranan semak dan imbang setiap kali sidang berlangsung.
Bagaimanapun, beliau berharap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan dan tiga di Kedah dapat memainkan peranan tersebut dengan sebaik mungkin dalam membela nasib rakyat menerusi semak dan imbang.
“Kita lihat orang Melayu bila dalam organisasi, mereka berpegang kepada konsep ‘feudal’. Bila ‘feudal’ mereka tidak berani untuk memberi dan melontarkan pandangan-pandangan yang agak kritikal terutama dalam parti.
“Sebagai contoh di Terengganu, bila tiada pembangkang saya lihat berkemungkinan besar tiada pandangan-pandangan kritikal pada sidang DUN nanti. Ini sesuatu yang tidak sihat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan UMK itu memberitahu, sebuah kerajaan yang berjiwa besar perlu berani untuk menerima teguran atau pandangan yang bernas.
“Apabila tiada pembangkang untuk semak dan imbang ia tidak sihat. Jadi kerajaan negeri perlu berjiwa besar dengan memberi peluang untuk apa jua pandangan yang bernas dan konstraktif untuk kesejahteraan rakyat.
“Dalam konteks Islam sekali pun kita tidak boleh menerima pandangan secara membuta tuli, sebaliknya perlu dibuat pertimbangan yang sewajarnya,” ujarnya. – UTUSAN










