TUMPAT: Dua lelaki berketurunan Siam yang sebelum itu dikhuatiri hilang selepas trak pikap dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai Chenderung Kubu di Kampung Chenderung Kubu di sini, awal pagi tadi ditemukan lemas.
Mangsa pertama Eh Bau Eh Di, 43, ditemukan lemas pada pukul 9.20 pagi sejurus kenderaan itu berjaya dinaikan menggunakan bantuan kren.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Anuar Yaacob berkata, Eh Bau ditemukan terperangkap di tempat duduk belakang trak pikup berkenaan.
“Pengesahan mayat Eh Bau itu dibuat oleh keluarganya. Mayat mangsa kedua pula iaitu Eh Heak Eh Yek, 54, ditemukan pada 10.54 pagi pada jarak 27 meter dari tebing sungai berkenaan.
“Kedua-dua mayat tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Tumpat bagi tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Kamal Hakimi Fauzi ,19, memberitahu, dia melihat trak pikap itu merempuh pagar jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai kira-kira pukul 1 pagi.
Katanya, semasa kejadian dia sedang bermain karom bersama tiga lagi rakannya di sebuah wakaf berhampiran jambatan tersebut.
“Sebaik melihat trak pikap itu jatuh ke dalam sungai, saya terus melulu ke jambatan itu untuk membantu sekiranya ada mangsa naik ke permukaan tetapi trak itu terus tenggelam bersama mangsa.
“Saya terus menghubungi pihak bomba memaklumkan kejadian itu dan kemudiannya penduduk kampung keluar untuk membantu,” ujarnya.
Utusan Online sebelum itu melaporkan, dua lelaki berketurunan Siam dikhuatiri lemas selepas trak pikap yang mereka naiki terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Chenderung Kubu di Kampung Chenderung Kubu di sini, awal pagi tadi.-UTUSAN










