JEMPOL: Tempoh reman bapa kandung dan ibu tiri bagi kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dalam kejadian di Bahau, 12 September lalu disambung tujuh hari lagi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, permohonan sambung reman terhadap bapa kandung berusia 27 tahun yang bekerja di kilang kayu dan ibu tiri berusia 31 tahun itu dibuat selepas tempoh reman tujuh hari sebelum ini tamat hari ini.
Menurut beliau, pihaknya sedang melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Sambungan tahanan reman selama tujuh hari itu bermula hari ini sehingga 26 September depan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan sepasang suami isteri ditangkap selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.
Difahamkan, nasib kanak-kanak malang itu hanya diketahui apabila dia melarikan diri dari rumahnya sebelum mengadu kepada orang awam.
Siasatan awal mendapati mangsa telah didera sejak bulan Mac lalu. Mangsa yang merupakan anak sulung daripada empat orang beradik telah dipukul oleh ibu tiri dan bapa kandung dengan menggunakan tangan, ditendang, serta dirotan menggunakan senduk kayu.
Ujar Chang Hook lagi, mangsa telah menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah dan doktor telah mengesahkan mangsa mengalami pelbagai kecederaan pada tubuh badan.-UTUSAN.