Bukan fatwa, tetapi bahasa santai - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Bukan fatwa, tetapi bahasa santai – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN (tengah) dan pemimpin PN mengibarkan bendera parti semasa menghadiri Ceramah Grand Finale PN di Kempas, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa ucapan haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat yang dinyatakannya bukan fatwa agama, sebaliknya bahasa santai.

Beliau mengakui sedar dirinya tidak mempunyai pendidikan agama yang tinggi dan mencukupi bagi mengeluarkan sebarang fatwa agama.

“Saya kata jangan sokong calon PH, haram. Haram Muhyiddin tak sama dengan haram fatwa, itu bukan agama tetapi sebaliknya bermakna jangan sokong dia, haram jadah sebenarnya. 

“Pada 12 haribulan ini saya akan beri keterangan kepada polis, saya faham tiada mana-mana pihak boleh keluarkan fatwa kecuali Majlis Fatwa Kebangsaan. Itu bahasa santai dan pendengar juga ketawa kerana mereka faham apa yang disampaikan, saya sebenarnya tidak mahu bercakap soal ini,” katanya pada ceramah Grand Finale PN  di Jalan Dataran Utama, Taman Kempas, di sini hari ini.

Yang turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau serta Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sabtu lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, haram mengundi Suhaizan pada PRK Parlimen Pulai di hadapan kira-kira 1,000 ahli dan penyokong PN.

Muhyiddin turut mengulas perkembangan kes mahkamah melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan, baru-baru ini.

“Kes saya dengan Zahid Hamidi langit dengan bumi, saya hadapi tujuh pertuduhan yang direka kata saya salah guna kuasa, terima suapan beratus juta, itu tuduhan tidak berasas, berkenaan projek Jana Wibawa.

“Sepanjang pegang banyak jawatan termasuk Menteri Besar Johor dan Perdana Menteri, saya tidak pernah terlibat dalam rasuah. Kes saya juga telah digugur kerana tiada bukti.

“Sebaliknya, kes Ahmad Zahid, dia telah diperintahkan mahkamah untuk membela diri. Yang mohon kes itu tidak diteruskan adalah peguam bela dan bukannya hakim. Peguam bela adalah Peguam Negara yang dilantik Yang di-Pertuan Agong yang diperakukan oleh Perdana Menteri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN