Budak empat tahun maut, bapa parah motosikal dilanggar pemandu Singapura - Utusan Malaysia

Budak empat tahun maut, bapa parah motosikal dilanggar pemandu Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang baru pulang dari tadika maut selepas motosikal dibonceng bersama bapanya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Mercedes di Kilometer 16 Jalan Sua Betong-Air Kuning di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa, Muhammad Shaheizy Iman Muhammad Shazrein, 4, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Hospital Port Dickson manakala bapanya berusia 26 tahun mengalami kecederaan parah iaitu patah bahu dan kaki kanan.

Aidi Sham berkata, kemalangan pada pukul 1.30 tengah hari itu berlaku ketika penunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari mengambil anaknya dari tadika di Taman Desa Port Dickson sebelum terlibat kemalangan dengan kereta dipandu seorang lelaki warga Singapura berusia 33 tahun.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua kenderaan itu bergerak dari arah Air Kuning menghala ke Sua Betong.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta Mercedes berkenaan sedang memotong kenderaan di hadapannya lalu melanggar bahagian tepi kanan motosikal dinaiki mangsa yang sedang membelok ke simpang kanan menghala ke Ladang Sua Betong,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Aidi Sham, akibatnya kemalangan itu bapa mangsa yang merupakan juruteknik ladang Sua Betong mengalami kecederaan patah bahu kanan dan kaki kanan manakala anaknya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Port Dickson. 

“Pemandu kereta Mercedes bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Saringan awal ujian air kencing terhadap pemandu itu adalah negatif dan ujian pernafasan menunjukkan tiada kandungan alkohol dalam darah. 

“Lelaki itu telah direman selama tiga hari bermula hari ini dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. 

Dalam pada itu, Aidi Sham berkata, pihak polis meminta saksi kemalangan tersebut tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Ia berikutan tular dakwaan di media sosial bahawa kemalangan berlaku disebabkan kereta yang terlibat berlumba sebelum melanggar sebuah motosikal di hadapannya. 

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang spekulasi berhubung kejadian.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya