Beras: Disorok atau gangguan rantaian? - Utusan Malaysia

Beras: Disorok atau gangguan rantaian?

Kerajaan digesa siasat kekurangan bekalan beras tempatan sama ada disorok atau ada masalh rantaian. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu merungkai ‘misteri’ di sebalik kekurangan bekalan beras tempatan di seluruh negara ketika ini sama ada berpunca daripada kegiatan menyorok oleh pihak tertentu atau disebabkan masalah rantaian pengedaran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Bendahari Agung Gabu­ngan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, setakat ini, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sendiri me­ngakui tiada bukti beras disorok.

Menurut beliau, ada kemungkinan wujud masalah sama ada di peringkat pengedar, pembekal atau pengeluar yang membawa kepada bekalan beras terganggu.

“Cuma, yang menjadi persoalan ialah kalau tiada isu sorok kenapa tiba-tiba boleh muncul isu kekurangan bekalan atau mengapa tiba-tiba ada gangguan dalam rantaian pengedaran antara pengilang, pemborong dan peruncit,” katanya.

Semalam, Presiden Persa­tuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff menyangkal dakwaan ‘kehilangan’ beras tempatan disebabkan pembelian panik sehingga menyebabkan bekalan kurang.

Tinjauan mereka di beberapa pasar raya sekitar Selangor juga mendapati kebanyakan stok beras tempatan hampir tiada dan hanya dipenuhi dengan beras import.

“Tinjauan pihak kami di Pe­ta­ling Jaya, Selangor, 10 kedai yang kami pergi, hanya dua kedai yang ada stok beras tempatan termasuk di pasar raya besar dan kecil,” katanya.

PANIK

Asyikin turut menolak berlakunya pembelian panik dalam kalangan pengguna kerana jika bekalan beras tiada, bagaimana mahu membuat pembelian panik.

“Pembelian panik tidak berlaku secara tiba-tiba. Ke mana perginya 60 sehingga 70 peratus hasil beras tempatan kita? Macam mana boleh hilang? soalnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader berkata, tahun 1970, pengeluaran dalam negeri memenuhi 75 peratus permintaan beras negara tetapi kini hanya mampu mengeluarkan 60 hingga 65 peratus sahaja.

“Kebergantungan terhadap beras import semakin meningkat dan sangat membimbangkan. Ini menunjukkan Malaysia sedang menuju ke arah kebergantungan yang tinggi kepada beras import,” katanya.

Abdul Kader berharap masalah kekurangan beras tempatan dapat diselesaikan dengan segera oleh pihak berwajib kerana ia memberi kesan buruk kepada Malaysia.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN/KSH) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diminta selesaikan isu ini dengan segera bagi mengurangkan beban rakyat,” katanya.

STOK PENIMBAL

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan berkata, kerajaan bakal mengambil langkah menggunakan Stok Penimbal Beras Negara bersama Stok Beras Semasa jika bekalan beras negara tidak dapat dipulihkan dalam jangka masa terdekat selepas pelbagai pendekatan dilakukan.

Menurut Ahmad Zahid, perkara itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) dipengerusikan beliau semalam.

Katanya, keberadaan beras tempatan di pasaran akan dipantau KPDN/KSH dan KPKM dengan mempergiatkan operasi penguatkuasaan menerusi Op Beras, OP Jamin dan OP Beras Putih Tempatan (OBPT) yang dimulakan 7 Julai lalu.
“Dalam Jualan Rahmah Beras yang sedang giat dijalankan, kerajaan memutuskan menggunakan Beras Putih Import (BPI) dijual dengan harga borong (RM3,200 per tan metrik).

“Pelbagai inisiatif dan program bagi memastikan ketersediaan dan keberadaan beras tempatan antaranya Program Khas Beras Putih Tempatan dan dengan pelaksanaan ini terdapat unjuran tambahan Beras Putih Tempatan (BPT) sebulan sebanyak 23,000 tan metrik,” kata beliau.

Ahmad Zahid berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) juga dipertanggungjawabkan untuk membekalkan beras di kawasan yang mengalami gangguan bekalan.

Katanya, ini termasuk melancarkan talian hotline bagi pengguna melaporkan isu dan masalah berkaitan bekalan serta penyelewengan.

Beliau berkata, KPDN/KSH dan KPKM menjalankan penguatkuasaan bersepadu dengan setakat ini sebanyak 37 siri pemeriksaan OP Jamin melibatkan 2,322 pemeriksaan ke atas premis kilang, borong dan runcit dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN