PETALING JAYA: Belanjawan 2024 disaran memberi fokus khusus untuk membantu meningkatkan pendapatan 70 peratus atau 11.5 juta pekerja tidak mahir daripada 16.5 juta pekerja di seluruh negara bagi membaiki taraf hidup mereka.
Antara pekerjaan tidak mahir yang banyak disertai ketika ini ialah sektor gig ekonomi seperti pemandu e-hailing, penunggang p-hailing, pekerja di pusat beli-belah dan kilang-kilang di kawasan perindustrian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, rata-rata pekerja tidak mahir akan memperoleh pendapatan bulanan rendah sekitar RM2,500 dan ke bawah.
Menurut beliau, jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup khususnya mereka yang bekerja di bandar-bandar besar yang memerlukan pendapatan bulanan paling kurang RM3,000 untuk seorang pekerja.
“Oleh itu, Belanjawan 2024, kerajaan perlu sekurang-kurangnya mengurangkan kadar peratusan pekerja tidak mahir daripada 70 peratus kepada 40 peratus sahaja, manakala selebihnya boleh beralih kepada sektor lebih produktif seperti pertanian dan perniagaan.
“Jika kerajaan dapat membantu dalam mempertingkatkan pendapatan golongan ini, ia sekali gus memberi faedah kepada kerajaan untuk menghapuskan subsidi secara berperingkat-peringkat.
“Ini mungkin memerlukan perancangan yang lebih strategik dan masa, tetapi sekurang-kurangnya kita meletakkan sasaran dalam jangka tiga tahun ke depan, kira-kira 20 hingga 30 peratus isi rumah di negara ini akan terlibat dalam bidang perniagaan atau pertanian yang produktif,” katanya.
GOLONGAN M40
Belanjawan 2024 dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 13 Oktober depan dengan antara lain dijangka memberi tumpuan kepada golongan M40 selain memperkasakan pengusaha kecil dan sederhana (SME).
Dua perkara itu masih menjadi perhatian kerajaan yang sedang mempersiapkan Belanjawan 2024.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, pengumpulan maklum balas berhubung dengan Belanjawan 2024 kini hampir memasuki fasa akhir sebelum dibentangkan di Parlimen.
Steven berkata, kementerian menerima hampir 8,000 maklum balas secara bersemuka manakala lebih kurang 10,000 maklum balas diterima melalui portal Kementerian Kewangan.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, pendapatan pekerja tidak mahir yang tidak setanding dengan kos sara hidup semasa turut memberi kesan kepada ekonomi negara..
Kata beliau, perkara itu mengakibatkan wujudnya masalah dalam pasaran negara yang tidak dapat berjalan dengan sempurna disebabkan kekurangan kuasa membeli sebahagian besar masyarakat.
“Disebabkan punca pendapatan yang rendah dan harga barang meningkat, kuasa membeli golongan tersebut semakin melemah dan akan memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pakar ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob sependapat kerajaan Madani perlu memberi fokus kepada pengurangan peratusan kadar pekerja tidak mahir bagi merancakkan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
MENILAI
Menurut beliau, kerajaan perlu menilai semula penyertaan belia yang terlalu besar dalam gig ekonomi sebagai pemandu e-hailing atau penunggang p-hailing kerana kumpulan tersebut enggan melanjutkan pelajaran selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) .
“Ketika ini dianggarkan terdapat kira-kira 1.2 juta golongan belia menyertai sektor ekonomi gig disebabkan kurangnya peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan taraf pelajaran mereka.
“Pada masa sama, hampir 458,000 pelajar lepasan SPM enggan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Mereka ini yang menyumbang kepada peningkatan jumlah pekerja tidak mahir apabila mereka menyertai gig ekonomi..
“Ia tidak baik untuk perkembangan ekonomi sekiranya tiada tindakan khusus oleh kerajaan bagi membantu golongan tersebut meningkatkan pendapatan,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan memperkasakan agensi-agensi pelaksana seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Tekun, Mara dan sebagainya untuk memperbanyakkan lagi usaha menarik golongan tersebut menyertai program keusahawanan.
“Mereka ini perlu diberikan latihan dan pengetahun dalam bidang keusahawanan atau bidang-bidang yang menjanjikan pendapatan lumayan supaya tidak terus berkecimpung dalam gig ekonomi.
“Mikro ekonomi adalah tulang belakang kepada pendapatan negara kerana golongan usahawan membekalkan produk secara terus kepada pengguna dan secara tidak langsung ia membantu meningkatkan lagi hasil kepada individu dan negara,” katanya.- UTUSAN










