Bekalan beras tempatan pulih dalam masa sebulan - Mat Sabu - Utusan Malaysia

Bekalan beras tempatan pulih dalam masa sebulan – Mat Sabu

MOHAMAD SABU (kanan) meninjau bekalan beras tempatan di sebuah pasar raya di Tampoi, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pertanian Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin bekalan beras tempatan dalam pasaran akan pulih dalam tempoh sebulan menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) yang dijalankan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya telah mengambil beberapa langkah intervensi termasuk meminta pengilang meningkatkan 20 peratus kuota pengeluaran sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek. 

Katanya, KPKM akan turut mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh dalam industri padi dan beras negara, Khamis ini.

“Dalam sesi berkenaan, kaedah dan mekanisme berkaitan usaha pemulihan akan dibincang meliputi penyelesaian jangka masa pendek, sederhana dan panjang,” katanya selepas meninjau stok beras tempatan di sebuah pasar raya di Tampoi, di sini hari ini.

Dalam pada itu, kementeriannya maklum dengan kegiatan sindiket yang menukar bungkusan beras tempatan menjadi bungkusan beras import untuk mendapatkan keuntungan mudah.

“Perkara ini sedang ditangani,  pihak kawal selia padi beras negara akan bertindak dan sentiasa mengawasi. Kita maklum akan perkara itu, Insya-Allah sekarang dalam kawalan. Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah mengikut akta sedia ada,” katanya sambil menafikan dakwaan bahawa ‘orang tengah’ mempunyai kawalan terhadap 95 peratus pengeluaran beras tempatan negara. 

Dalam pada itu, beliau menegaskan, bekalan beras tempatan mencukupi dengan peniaga masih mengekalkan harga kawalan, iaitu RM2.60 sekilogram.

“Kita akan berbincang dengan semua pihak termasuk pengilang bagi mencari jalan penyelesaian (dakwaan kurang bekalan). Rakyat bebas kritik, saya tiada masalah, tetapi jika bekas pemerintah mahu bermain ‘blame game’, saya rasa pelik.

“Ini kerana mereka tak buat sesuatu pada zaman mereka untuk tambah hasil padi dalam Malaysia. Kini apabila kita tadbir, saya sedang berusaha sekarang untuk tingkatkan hasil,” katanya.

Mohamad berkata, antara langkah diambil kementeriannya untuk meningkatkan bekalan beras termasuk mengusahakan tanaman pada skala besar seperti yang sedang dilakukan menerusi Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Mini Sekinchan.

“Smart SBB ini bukan apa, hanya kena tumpu bersungguh-sungguh, buat bendang ini ‘full-time’ bukan lagi ‘part-time’. Kita nak usaha skala besar ini berkembang terus, Insya-Allah kalau semua bekerjasama kita akan capai kecukupan beras dalam masa singkat, tetapi bukanlah sebulan dua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya