Apa jadi dengan siasatan penyelewengan kerajaan? - Sanusi - Utusan Malaysia

Apa jadi dengan siasatan penyelewengan kerajaan? – Sanusi

MUHAMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md. Nor mempersoalkan status siasatan beberapa kes penyelewengan yang dikaitkan dengan kerajaan kerana senyap begitu sahaja tanpa sebarang tindakan lanjut.

Pengarah Pilihan Raya Pas itu mendakwa, perkara tersebut secara tidak langsung memperlihatkan sikap sebenar kerajaan yang penting diri sedangkan pemimpin pembangkang sering ditekan pihak berkuasa.

Muhamad Sanusi mendakwa, sehingga kini siasatan beberapa kes misalnya pemberian kontrak membabitkan bekas pegawai menteri masih lagi tidak dilakukan pendakwaan.

Justeru itu, beliau melihat Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai perlu memberikan satu mesej kepada pengundi untuk menolak Barisan Nasional (BN) dan mengundi Perikatan Nasional (PN) pada hari pengundian 7 Oktober ini.

“Kalau di Kedah, rakyat telah beri mesej besar kepada kerajaan khususnya BN dengan berjaya menewaskan semua calon BN.

“Bukan tidak sayang UMNO, saya pun sayang UMNO, tapi kita kena mengingatkan mereka kerana sanggup berkerjasama dengan PH.

“Jadi di Pelangai, semua pengundi termasuk ahli UMNO kena beri mesej bahawa tidak boleh terima sebarang agenda dipergunakan demi kepentingan seseorang pemimpin sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Ceramah Perdana PN di sini semalam.

Sementara itu, Muhamad Sanusi berkata, beliau sebagai rakyat Malaysia berasa malu kerana dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) lenggang ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap.

Katanya, keadaan itu amat berbeza dengan bekas Perdana Menteri sebelum ini yang menyaksikan sesi UNGA sentiasa dipenuhi perwakilan antarabangsa kerana mahu mendengar pendirian Malaysia.

“Mengapa orang tidak mahu dengar? Sebab dia bohong, ucapan tentang Malaysia Madani rupanya di peringkat antarabangsa bagi mereka ungkapan madani tiada isi dan kosong.

“Apa erti Malaysia Madani jika negeri dipimpin pembangkang dia tak layan, jumpa pun dia tak mahu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya