PETALING JAYA: Seorang daripada lima suspek kes rogol seorang wanita secara bergilir-gilir di sebuah rumah di Wangsa Maju baru-baru ini ditahan polis.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, suspek yang ditahan merupakan abang ipar kepada mangsa.
“Suspek kini direman selama enam hari untuk siasatan di bawah Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan.
“Polis kini sedang mengesan empat lagi suspek yang masih bebas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Khamis lalu, media melaporkan seorang wanita berusia 27 tahun itu tersedar daripada tidur dengan tangannya diikat manakala mulutnya dilekatkan pita pelekat dalam kejadian pukul 3.30 pagi.
Mangsa kemudian dirogol bergilir-gilir antaranya dipercayai turut membabitkan rakan kepada abang iparnya.
Ketika kejadian, Siti Kamsiah dilaporkan berkata, anak buah mangsa ternampak kesemua suspek termasuk rakan abang ipar serta seorang lagi rakan ketika pulang ke rumah.
Perbuatan terkutuk itu turut dirakam suspek. – UTUSAN