2,000 sertai Larian UMPSA Bridge Run - Utusan Malaysia

2,000 sertai Larian UMPSA Bridge Run

TENGKU HASSANAL Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) menyertai program UMPSA Pekan Bridge Run 2023 di Pekan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Lebih 2,000 peserta menyeberangi Jambatan Sultan Abu Bakar Pekan dalam program Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Pekan Bridge Run 2023 sempena Sambutan 21 Tahun dan penjenamaan universiti itu.

Berkenaan menyempurnakan majlis pelepasan larian itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut menyertai acara lima kilometer (km).

Acara tersebut mendapat tajaan UMW Holding Berhad (Kumpulan UMW), UMP Advanced, UMP Holdings, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi), Extrajoss dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Mohd. Nizar Najib.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, program larian itu akan dijadikan sebagai acara tahunan dan dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri.

“Kita berterima kasih kepada Pemangku Raja Pahang dan seluruh komuniti melebihi 2,000 orang yang menyertai acara larian ini yang julung-julung kali diadakan selepas penjenamaan universiti ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Berkonsepkan ‘fun run’ dan berlari sambil beramal, penganjuran program ini sebagai antara usaha meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sekali gus membantu mempromosikan bandar Pekan sebagai salah satu destinasi pelancongan di negeri ini.

Program turut disertai pelajar sekolah menengah, institusi pengajian tinggi (IPT), atlet, pecinta kecergasan dan komuniti setempat dari sekitar daerah ini dan seluruh negeri ini.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, program larian ini memperkenalkan bandar Pekan yang juga terkenal dengan jolokan Bandar Diraja kerana terletaknya Istana Sultan Pahang serta kerabat Diraja negeri ini.

“Sebanyak dua kategori yang dipertandingkan iaitu lima kilometer dan 10 kilometer, laluan larian bermula dari Hotel Ancasa kemudian melalui Jambatan Sultan Abu Bakar ke bandar Pekan.

“Sudah pasti laluannya lebih menarik yang memberi peluang kepada peserta berlari sambil menikmati keindahan dan keharmonian bandar Diraja serta melalui pelusuk kampung yang ada di sepanjang laluan.

“Lebih bermakna penganjuran program ini juga menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan dan Hari Malaysia serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga UMPSA dan masyarakat setempat,” katanya.

Menurutnya, larian terbabit juga sebahagian aktiviti penjenamaan dan sempena sambutan ulang tahun ke-21 universiti tersebut.

“Ia menyokong agenda matlamat pembangunan mampan (SDG) serta menilai usaha dalam menangani masalah dunia berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya