PUTRAJAYA: Satu unit khas bagi mengawal selia permohonan dan pengambilan pelajar menyertai Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diwujudkan bagi mengelak pertindihan permohonan dan penawaran.
Unit itu perlu berfungsi seperti Unit Pusat Universiti (UPU) yang akan menyelaras semua permohonan dan tawaran untuk mengikuti kursus TVET di semua pusat atau institusi di negara ini agar lebih sistematik.
Ketika ini terdapat 1,344 institusi TVET merangkumi awam dan swasta yang menawarkan pelbagai program bermula peringkat sijil hingga ijazah sarjana muda.Semua itu mengurus permohonan dan tawaran berasingan menyebabkan terdapat pelajar menerima dua atau tiga tawaran kursus selain ada institusi tidak mendapat sambutan ekoran tawaran bertindan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, beliau menyokong cadangan mewujudkan unit khas bagi mengawal selia permohonan dan pengambilan pelajar menyertai TVET.
Menurut beliau, cadangan tersebut baik untuk memudahkan proses tapisan dan mengenalpasti calon berkelayakan supaya dapat diterima mengikuti kursus TVET yang ditawarkan di semua institusi.
“Kelebihan apabila permohonan dilakukan secara berpusat juga adalah kos dan tempoh memproses permohonan dapat diselaraskan. Masa menunggu permohonan diterima atau ditolak tidak boleh lama serta memenuhi kehendak semua pihak,” kata beliau.
PROGRAM
Selain itu, kata Mohamad Ali, tanpa unit khas tawaran program TVET seperti di bawah 12 kementerian kerajaan ‘berserabut’ apabila setiap kementerian mungkin menetapkan syarat tidak sama.
Senada, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, sampai masanya ada pihak tertentu mengambil peranan bagi menyatukan program TVET bagi memastikan tawaran itu lancar di semua institusi.
“Misalnya dari segi persijilan. Siapakah yang mahu menyediakan standard supaya ia setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma atau ijazah.
“Jadi kena ada pihak tertentu menyediakan standard supaya mana-mana institusi mengikutinya dan apabila tamat pengajian, maka mudah dapat kerja dengan gaji setimpal,” katanya.
Pada masa sama, Alimuddin berkata, badan profesional bagi setiap bidang TVETjuga perlu melibatkan diri membantu unit tersebut supaya pelajar mempunyai kemahiran tinggi.
“Badan-badan profesion di negara kita patut bekerjasama kerana mereka lebih tahu dan faham kursus-kursus disediakan dan boleh bagi input untuk program tersebut,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata, kerajaan sedang menilai dan membuat kajian secara komprehensif berhubung isu pertindihan program yang ditawarkan semua institusi TVET awam dan juga swasta.
Daripada 1,344 institusi TVET, sebanyak 668 milik awam dan ditadbir urus oleh 12 kementerian manakala bakinya 676 diuruskan institusi masing-masing.
FOKUS
Kata KSM, kursus dan program TVET di setiap kementerian memberi fokus kepada kumpulan sasar yang berbeza.
Menurutnya, kajian berkaitan program TVET mengambil masa bagi menilai implikasinya ke atas ekosistem TVET secara menyeluruh.
“Sebagai permulaan, Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) Bil. 1/2023 memutuskan agar penyedia TVET khususnya dalam kalangan institusi TVET awam mengenal pasti program yang mendapat permintaan dan peratus kebolehpasaran tinggi berdasarkan data-data relevan.
“MTVET ditubuhkan pada 18 Disember 2020 sebagai usaha menambah baik penyelarasan ekosistem TVET dan berperanan sebagai badan tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan hala tuju TVET negara,” katanya semalam.
KSM berkata, keanggotaan MTVET merentasi semua 12 kementerian penyedia TVET dan pelbagai pemegang taruh berkaitan dan Sekretariat MTVET kini diletakkan di bawah KSM bagi mentadbir urus perjalanan dan operasi MTVET.
MTVET dilihat mampu menjadi platform terbaik untuk merancang agenda TVET dan seterusnya memperkasa dan membawa TVET ke satu tahap lebih tinggi.
Secara umumnya, program TVET diakreditasi dua badan kawal selia utama iaitu sama ada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), KSM melalui Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) atau Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kementerian Pendidikan Tinggi. – UTUSAN










