UMNO N. Sembilan mahu runding jawatan Speaker, Timbalan Speaker

UMNO Negeri Sembilan mahu rundingan jawatan Speaker, Timbalan Speaker DUN

UMNO
BANGUNAN DUN Negeri Sembilan di Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan meminta agar diadakan rundingan di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi pelantikan jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua  Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapha Nagoor berkata, kenyataan yang dibuat Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bahawa kedua-dua jawatan itu diberikan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR adalah tanpa perbincangan dengan pihak BN

“ADUN BN pernah memohon untuk suarakan sama ada jawatan Speaker atau Timbalan diberikan kepada BN bagi mengambil kira semangat Kerajaan Perpaduan, namun kedua-duanya diberikan kepada PH.

“Kami mohon ambil kira sensitiviti dan perasaan semua komponen yang menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Di situlah kebersamaan dan kejituan yang memerlukan perbincangan untuk menghormonikan setiap keputusan termasuklah jawatan ini,” katanya hari ini.

Semalam, Aminuddin dilaporkan berkata, jawatan Speaker DUN Negeri Sembilan akan diserahkan kepada wakil Amanah Negeri Sembilan manakala timbalannya diisi wakil PKR. 

Menurut Menteri Besar, tindakan itu bagi memastikan keseimbangan dalam kalangan parti yang membarisi Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Aminuddin mengumumkan lantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dengan empat mewakili BN/UMNO termasuk satu jawatan Exco Kanan yang diisi oleh ADUN Pertang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Empat lagi jawatan Exco diwakili ADUN dari DAP dan dua dari PKR.

Sementara itu, Mustapha berkata, pihaknya yakin PH akan terbuka untuk berunding terlebih dahulu memandangkan Persidangan Khas DUN bagi majlis angkat sumpah ADUN akan diadakan 26 September depan.

“Ada masa panjang, jadi boleh lah buat perbincangan. Kalau tak dapat Speaker, sekurang-kurangnya timbalan speaker kepada BN. Kita dua gabungan Ini sahaja yang tubuhkan kerajaan negeri.

“Saya kira langkah ini penting kerana kita mahu jadikan Negeri Sembilan ini contoh kekuatan Kerajaan Perpaduan dan sebab itulah penting untuk kita buat keputusan secara bersama.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung 12 Ogos lalu, PH dan Barisan Nasional (BN) masing-masing memenangi 17 dan 14 kerusi sekali gus membentuk majoriti dua pertiga di DUN Negeri Sembilan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN