PETALING JAYA: Lebih 2,500 pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditugaskan untuk memantau dan menunggu sedia setiap masa sepanjang proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dijalankan.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, pihaknya sudah membuat persiapan bagi memastikan bekalan elektrik di semua 3,214 pusat mengundi dan 180 pusat penjumlahan rasmi undi di enam PRN, Sabtu ini.
Kata beliau, anggota-anggota TNB akan sentiasa berada di lapangan dan bilik-bilik gerakan operasi di negeri-negeri terlibat ketika proses pengundian PRN berlangsung, Sabtu ini.
“TNB telah pun melakukan persiapan awal dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu-sedia bekalan elektrik ke lokasi-lokasi tersebut sentiasa terjamin.
“Kami juga menempatkan pasukan-pasukan petugas bagi memantau dan menunggu sedia untuk lokasi-lokasi penting ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, PRN akan melibatkan enam buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Wan Nazmy berkata, TNB juga menyediakan sebanyak 198 lori jana kuasa dan 144 set jana kuasa mudah alih untuk memberikan bekalan sekiranya diperlukan semasa hari mengundi tersebut.
“Situasi bekalan elektrik seluruh negara dipantau setiap masa sehingga proses penjumlahan rasmi undi yang dijangka berlanjutan sehingga tengah malam pada 12 Ogos atau awal pagi keesokan harinya,” jelasnya.
Katanya, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap negeri tersebut memberi kerjasama dan bantuan yang diperlukan bagi mendapatkan maklum balas perincian keperluan elektrik di semua pusat mengundi serta penjumlahan undi.
“Daripada situ, kami telah pun mengambil langkah-langkah yang diperlukan. Insya-Allah semuanya akan berada dalam keadaan terkawal.
“Sebelum ini, proses penamaan calon pada 29 Julai lalu dan proses pengundian awal pada 8 Ogos berjalan lancar tanpa sebarang kejadian gangguan bekalan,” ujarnya.
Tambahnya, sebagai langkah berjaga-jaga, TNB turut memberi peringatan kepada semua pihak untuk mengelak daripada melakukan kerja-kerja pengorekan tanah bagi mengurangkan risiko menyentuh kabel elektrik dan menghindari kemungkinan gangguan bekalan elektrik berlaku.-UTUSAN










