PETALING JAYA: Warga kota bersemangat untuk pulang melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi membuang undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) esok sehingga jualan tiket bas dan kereta api laris dijual.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, jualan tiket bas ekspress bagi kelas ekonomi di bawah persatuan itu habis dijual setakat ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jualan tiket yang sudah habis dijual tersebut turut melibat perjalanan dari ibu negara ke enam negeri yang terlibat dengan PRN.
“Saya cuma dimaklumkan oleh pengusaha bas bahawa tiket yang mereka jual sudah habis, namun, mereka tidak memaklumkan berapa jumlah tiket dan berapa bas yang disediakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu, semakan di laman sesawang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menunjukkan tiket kereta api ETS dari ibu kota menuju ke Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Negeri Sembilan turut habis dijual sepanjang hari ini dan esok.
Bagaimanapun, bagi pengundi dari Selangor untuk ke Negeri Sembilan, mereka masih berpeluang mengambil KTM Komuter dari KL Sentral menggunakan laluan Batu Caves ke Tampin.
Beberapa hari lepas, KTMB menambah tren ETS dari KL Sentral ke Padang Besar dan tiket tersebut turut habis dijual.
Tren tambahan tersebut menawarkan sebanyak 630 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket sebanyak 8,190 yang ditawarkan termasuk kos kelas perniagaan.
Bagaimanapun, semakan tiket bas menerusi laman web sesawang bagi penempahan tiket bas ekspress, iaitu easybook.com bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke setiap terminal bas di Kedah menunjukkan sebanyak 1,000 lebih tiket bas masih belum habis dijual.
Tambahan, didapati pengusaha-pengusaha bas yang terlibat menyediakan bas bagi perjalanan ke negeri itu sebanyak 69 perjalanan pada hari ini sahaja.
Dalam masa yang sama, 22 perjalanan yang disediakan dari ibu negara ke Pulau Pinang juga menunjukkan sebanyak 352 tiket masih belum habis dijual. -UTUSAN