JOHOR BAHRU: Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat bersedia menggalas tanggungjawab sebagai calon Pakatan Harapan (PH), sekali gus meneruskan perjuangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada penduduk Parlimen Pulai.
Beliau yang juga Ketua Amanah Pulai turut berbesar hati dipilih sebagai calon di Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 September ini dan akan menggunakan pengalamannya bertanding di beberapa kawasan dan kerusi sejak 2004 untuk menjadikannya lebih bersedia memikul amanah dan kepercayaan yang diberikan.
“Saya bersedia menggalas tugas ini dan akan berusaha bersungguh-sungguh membalas kepercayaan pucuk pimpinan PH dan Amanah setelah dipilih bertanding di Parlimen Pulai.
“Pengalaman berkhidmat sebagai Ketua Amanah Pulai dan Setiausaha politik kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Parlimen Pulai amat dekat di hati saya. Saya banyak terlibat dalam aktiviti turun padang bersama beliau selain menjadi wakilnya di kawasan menerima pelbagai aduan masyarakat.
“Berbekalkan pengalaman sebagai bekas Speaker DUN Johor pula, saya mempunyai hubungan baik bukan sahaja dengan semua ahli parti termasuk pihak pengimbang, malah dengan masyarakat,” katanya ketika ditemui hari ini.
Terdahulu, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan Suhaizan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pulai dalam satu kenyataan hari ini.
Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pernah bertanding di Parlimen Parit Sulong pada 2004, Parlimen Simpang Renggam (2013), Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup (2018) dan DUN Pulai Sebatang (2022).
Sebelum ini, beliau disebut-sebut antara calon yang berkemungkinan ditampilkan Amanah bagi Parlimen Pulai selain anak allahyarham, Siti Fatihah dan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad.
Pada PRU yang lalu, Salahuddin mempertahankan kerusi Parlimen Pulai selepas memperoleh 64,900 undi, menang dengan majoriti 33,174 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nur Jazlan Mohamed dan calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong.
Salahuddin juga berjaya mempertahankan DUN Simpang Jeram buat penggal kedua pada PRN Johor apabila memperoleh 8,749 undi mengalahkan calon PN, Zarul Salleh, calon BN, Datuk Lokman Md. Don dan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Mahaizal Mahmor.
Dalam pada itu, Suhaizan yang juga bekas pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan memperjuangkan serta memberi fokus terhadap isu serta permasalahan rakyat di Program Perumahan Rakyat (PPR) yang banyak di kawasan Pulai.
“Parlimen Pulai terletak di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dan terdapat empat PPR besar di Kempas, Melana, Uda Utama dan Perling yang memerlukan perhatian berikutan jumlah penduduk yang tinggi di situ.
“Selain itu, banyak isu perumahan, penempatan penduduk serta infrastruktur yang perlu diberi perhatian terutamanya masalah komuniti termasuk parkir, lif, jalan serta isu perparitan menjadi rungutan penduduk,” katanya. – UTUSAN