JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil PRK Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat tiba di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini pada pukul 8.45 pagi diiring beberapa pemimpin kerajaan perpaduan.
Memakai kemeja berwarna merah, beliau diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Perarakan mengiringi beliau turut disertai kira-kira 1,000 penyokong.
Parlimen Pulai mempunyai seramai 167,108 pengundi yang terdiri daripada 74,814 Melayu atau 44.17 peratus, Cina 67,635 pengundi (40.48%), India 20,555 pengundi (12.30%) serta Lain-lain kaum 5,104 (3.05%).
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN