SOSMA kekal, syor ditambah baik

SOSMA kekal, syor ditambah baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kekal, sebaliknya akan ditambah baik dengan dua syor utama.

Timbalan Menteri di Ja­batan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, beliau akan membawa syor berkenaan kepada Kabinet untuk pertimbangan.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskannya lanjut apakah syor-syor itu tetapi memberi bayangan mengenai isu ikat jamin terhadap tahanan yang sedang diteliti.

“Mansuh memang tiada dalam pertimbangan kerajaan tetapi kita akan lihat kepada usaha untuk menambah baik SOSMA dalam masa yang terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program berjalan santai Merdeka 2023 bersempena sambutan kibar Jalur Gemilang bersama agensi-agensi portfolionya di sini, semalam.

Awal bulan ini, beliau menerusi kenyataan mengesahkan bahawa ada 12 sesi libat urus mengenai isu SOSMA diadakan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan serta diteliti Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.

Bahkan sesi itu melibatkan ramai ahli keluarga kepada 69 tahanan di bawah SOSMA yang melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Su­ngai Buloh, Selangor pada 31 Julai lalu.

Beliau menjangkakan rumusan daripada sesi libat urus diadakan itu dapat dimukta­madkan kerajaan pada tahun ini juga, namun kemungkinannya dilaksanakan secara berpe­ringkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN