JOHOR BAHRU: Slogan PNBest: Bersih dan Stabil yang digunakan Perikatan Nasional (PN) untuk berkempen hanyalah wayang politik yang penuh dengan pembohong untuk menipu rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, hakikat kepemimpinan parti itu dipenuhi dengan individu yang banyak melalui penyelewengan wang ketika rakyat bergelut akibat pandemik Covid-19.
Menurut beliau, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai menggunakan undang-undang darurat untuk terus berkuasa dan ‘mengunci’ Parlimen bagi mencuri duit dana JanaWibawa.
“Rompakan secara berjemaah dengan orang kanan, Ketua Penerangan Bersatu dan anak beranak menantu itu dilakukan secara senyap. Ketika ada rakyat terpaksa kibar bendera putih sebab tak cukup makan, Muhyiddin dan puak PN rancak sebat duit rakyat untuk kepentingan peribadi dan parti mereka.
“Sampai SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) terpaksa minta bantuan polis dan Interpol untuk cari menantu Muhyiddin yang ke luar negara dari bulan Mei sehingga sekarang tidak balik. Bila orang tanya Muhyiddin, dia kunci mulut macam dia kunci Parlimen sebab takut kena buang dari jawatan Perdana Menteri dahulu.
“Tetapi apabila masuk musim PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15), mereka mendabik dada kononnya paling Best, Bersih dan Stabil. Dalam siri kempen, mereka menuduh UMNO penyamun, perompak dan macam-macam lagi padahal di sebalik pekung mereka, ada kudis bernanah yang amat busuk,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Nur Jazlan, kini PN kembali bermain wayang apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung walaupun majoriti rakyat sudah tahu penipuan yang dimainkan mereka.
“Kali ini mereka main pula sentimen Melayu dan Islam. Duduk sembang kononnya Gelombang Hijau akan melanda Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Sebenarnya mereka sendiri sudah goyah sebab ada angin perubahan dan pemberontakan rasa dalam kalangan rakyat di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Rakyat sudah lihat pembangunan dan kestabilan yang dinikmati di negeri-negeri pentadbiran Kerajaan Perpaduan. Jangan gadaikan segala nikmat dan kesenangan yang ada sekarang ini dengan terpedaya janji-janji palsu PN,” jelasnya lanjut.
Nur Jazlan yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Pulai sehubungan itu menasihati pengundi di enam negeri PRN untuk membuat pilihan terbaik demi kesejahteraan, kestabilan dan pembangunan masa depan negeri masing-masing.
“Melaka, Johor (negeri saya), Perak, Perlis, Pahang, Sabah dan Sarawak sudah lalui sesi PRN masing-masing. Rakyat mereka sudah buat keputusan dan cuma Perlis saja berubah wajah. Untuk enam negeri, tiga di bawah Kerajaan Perpaduan dan 3 lagi di bawah PN, segala-galanya akan ditentukan esok,” ujarnya. -UTUSAN