MELAKA: Banduan yang mengikuti Inisiatif Pensijilan Kemahiran Malaysia lebih bersedia dan yakin untuk memulakan kehidupan baharu sebaik selesai menjalani hukuman penjara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penghuni Penjara Jasin yang mahu dikenali sebagai Imi, 37, berkata, dia menyertai program tersebut secara sukarela selepas tertarik dengan inisiatif oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama Jabatan Penjara.
Katanya, dia kini mempunyai hala tuju jelas apabila bebas kelak kerana dijamin peluang pekerjaan bersama SWCorp.
“Saya mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam secara sukarela kerana memikirkan masa depan yang tidak pasti. Selepas menyertainya, saya tahu apa tujuan selepas bebas selain menguatkan azam untuk berubah.
“Saya juga lebih yakin dengan kehidupan baharu kerana telah dijamin dengan pekerjaan. Jika warga asing di negara ini pun boleh mendapat pekerjaan, saya sebagai warganegara perlu ambil peluang ini untuk bekerja di negara sendiri.
“Saya berharap orang luar dapat terima kami semula dan pihak SWCorp dapat meneruskan program ini untuk penghuni lain pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi: Inisiatif Pensijilan Kemahiran Malaysia di sini.
Terdahulu, seramai 3,000 banduan akan dilatih dan ditauliahkan SKM dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, peruntukan sebanyak RM1.57 juta disediakan untuk melaksanakan latihan kemahiran di 17 penjara terlibat pada tahun ini.
Sementara itu, banduan Penjara Sungai Udang yang mahu dikenali sebagai Razif, 26, berkata, ahli keluarganya tidak lagi bimbang dan runsing memikirkan nasibnya selepas dibebaskan.
Menurutnya, sijil kemahiran yang diperolehi sangat berguna untuk mendapatkan pekerjaan.
“Keyakinan untuk keluar penjara lebih tinggi sebelum ini. Apabila saya ada sijil dan pekerjaan yang menanti, keluarga tidak lagi bimbang.
“Saya diajar cara pengurusan seperti menyapu sampah dan kebersihan longkang. Sebelum ini rasa kerja ini remeh tetapi setelah menyertai dan melihat cara pengurusan mereka, kerja ini sama seperti kerja profesional lain yang memerlukan sijil,” katanya yang akan bebas lima bulan lagi. – UTUSAN










