SEREMBAN: Sekarang adalah waktu untuk semua pihak kembali menjalankan tugas bagi memberikan perkhidmatan kepada rakyat selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) dan pemenangnya juga telah ditentukan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, pelbagai analisis boleh dibuat berhubung keputusan PRN tersebut namun hakikatnya tugas kepada rakyat perlu kembali dimulakan.
“Saya serahkan kepada penganalisa, ramai penganalisa yang akan buat macam-macam analisis, itu terpulang masing-masing, bagi kami sekarang mula buat kerja, bagi saya, teruskan kerja saya sebagai Menteri Pengangkutan.
“Ia bagi menambah baik sistem pengangkutan dan bawa inisiatif kepada rakyat, sekarang masa untuk deliver kepada rakyat, soal analisis kejayaan, kegagalan dan sebagainya terpulang kepada penganalisa poltik masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengumumkan inisiatif Tambang Percuma myBas Konsesi Bagi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Program SBST di Terminal 1, di sini hari ini.
Siew Fook yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan beberapa pihak mengenai isu kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang mempengaruhi keputusan pengundian pada PRN baru-baru ini.
“Kalau kita lihat di Negeri Sembilan, kerjasama (PH-BN) telah membuahkan kejayaan yang besar, kita menang 31 daripada 36 buah kerusi, jadi itu kejayaan besar, bagi kita, model kerjasama di Negeri Sembilan telah berjaya menubuhkan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil dan agak selesa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Itu masing-masing, setiap negeri ada faktor lain, jadi lihat yang berjaya, Selangor dan Pulau Pinang kita berjaya tubuh kerajaan, tidak jadi masalah,” katanya.-UTUSAN.










