PETALING JAYA: Tiada kementerian atau agensi kerajaan yang mengeluarkan arahan sebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) bersifat provokatif dan menghasut seperti yang tular semalam.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan, perkara itu setelah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat semakan dengan semua syarikat telekomunikasi.
“Majlis Belia Malaysia (MBM) juga mengeluarkan penafian dan mengesahkan hantaran tersebut bukan bersumberkan daripada mereka,” katanya dalam ciapan Twitter milik beliau semalam.
Terdahulu, tular satu SMS yang dipercayai diterima secara rawak dari sebuah badan dikenali sebagai Belia Malaysia.
“RM0 Belia Malaysia: Tahukah anda DS Sanusi pernah terajang pegawai kerajaan kerana tidak beri kawasan balak kepada kroninya dan belum minta maaf sehingga kini,” petik SMS tersebut.
Semalam, Presiden MBM, Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid menafikan pihaknya terlibat dengan satu SMS rawak yang bersifat provokatif dan menghasut.
Beliau menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan lanjut dan suatu laporan polis akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang salah guna nama yang mengaitkan MBM dengan keadaan yang tidak bertanggungjawab. -UTUSAN










