Sawah Limbahau jadi tanah terbiar

Sawah Limbahau jadi tanah terbiar

JUIL NUATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kira-kira 404 hektar sawah padi bertukar menjadi tanah terbiar di kawasan Limbahau, Papar susulan ketiadaan jentera pembajak.

Seorang pesawah, Steven @ Mohd. Nur Hafizan berkata, sebelum ini dia mengusahakan kira-kira enam hektar tanah bagi penanaman padi namun sejak tiga tahun lalu berhenti menanam kerana masalah jentera pembajak sawah.

Malah, katanya, pembangunan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) turut menyebabkannya tidak mempunyai kawasan pemunggahan padi.

Sehubungan itu, dia berharap agar laluan atau jalan ladang disediakan untuk memudahkan petani.

‘Sistem pengairan di sawah turut terjejas akibat pembangunan LPB. Dulu, dalam tempoh seminggu, saliran air mampu meliputi kawasan seluas 242 hektar tetapi sekarang masa diperlukan lebih lama kerana kedudukan sistem pengairan berada di bawah,” katanya semalam.

Menurutnya, petani di kawasan Limbahau tidak berhadapan dengan masalah orang tengah kerana mereka biasanya menghantar sendiri hasil padi ke kilang pemprosesan beras.

Nur Hafizan yang bergiat dalam aktiviti penanaman padi lebih 20 tahun berkata, usaha kerajaan menaikkan harga padi akan menggalakkan petani sepertinya untuk terus mengusahakan tanaman itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim berkata, kawasan terbiar seluas 404 hektar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu perlu dibangunkan semula dengan penanaman padi.

Kawasan yang dahulunya ditanam padi sawah itu kini bertukar menjadi kawasan tanah terbiar selepas banyak jentera pembajak sawah yang disediakan oleh Pertubuhan Peladang mengalami kerosakan.

Namun, menurutnya, baru-baru ini Jabatan Pertanian membekalkan tujuh jentera pembajak sawah bagi kawasan Limbahau dan diharap jentera berkenaan dapat membantu petani membangunkan semula tanah-tanah mereka bagi menanam padi.

‘Usaha pembangunan semula kawasan ini penting dalam memastikan sekuriti makanan terjamin kerana negara pengeksport beras mungkin menghentikan eksport pada bila-bila masa,” katanya.

Ketika ini, tahap sara diri (SSL) beras Sabah berada pada paras 22 peratus dan selebihnya ditampung melalui beras import dari negara-negara seperti China, Vietnam, Thailand serta Pakistan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN