MIRI: Penggiat industri seni kreatif Sarawak kini boleh memanfaat bantuan bagi mengadakan program dan bengkel dengan membuat permohonan secara dalam talian.
Timbalan Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan mendedahkan, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM10 juta bagi industri berkenaan untuk tujuan mengasah bakat anak-anak muda di negeri ini.
“Golongan muda terutamanya digalakkan memohon bantuan tersebut bagi industri kreatif seperti fesyen, rekaan, perfileman radio, fotografi, gastronomi atau makanan. Mereka boleh memohon peruntukan tersebut secara dalam talian.
“Bajet untuk industri kreatif setiap tahun adalah sekitar RM10 juta yang diperuntukkan untuk mengadakan bengkel bagi tujuan pemerkasaan industri ini, oleh itu, kita menggesa agar mereka yang menceburi industri ini memanfaatkan bajet tersebut,” katanya pada Malam Gala Pekit Keling dan Kumang Raban Ngepan Iban Tikas Pulau Borneo 2023 di Hotel Meritz, di sini malam tadi.
Bagaimanapun, katanya, bagi yang ingin memohon, mereka perlu mengemukakan kertas cadangan dan beberapa kriteria yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.
“Kita (Kementerian Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak) melihat rekod, latar belakang, kertas cadangan dan kita juga akan meneliti jumlah yang sesuai di peringkat program yang dicadangkan penganjurannya.
“Ada juga di peringkat yang lebih besar sampai antarabangsa, kita perlu lebih RM100,000 dan sebagainya. Justeru, keperluan peruntukan ataupun bantuan daripada wakil rakyat juga membantu untuk kembangkan kebolehan bakat anak tempatan di negeri ini,” tambahnya.
Selain daripada industri kreatif, Snowdan juga menggalakkan mana-mana persatuan untuk memohon bajet bagi program yang melibatkan adat dan budaya.
“Usaha program yang melibatkan adat dan budaya sebegini akan membantu meneruskan pengekalan adat dan budaya kaum masing-masing di Sarawak.
“Hal ini sekali gus mencapai matlamat kementerian dalam mempelbagaikan penganjuran program di Sarawak sehingga ke peringkat antarabangsa dalam usaha mempromosi Sarawak seperti Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) yang diadakan baru-baru ini di Kuching,” jelasnya. -UTUSAN










