PUTRAJAYA: Sejumlah RM111 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf 436 klinik kesihatan daif dan usang di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 91 klinik selesai dibaik pulih manakala 341 klinik masih dalam proses pelaksanaan dan empat lagi di peringkat perolehan.
Menurut beiau, sejumlah RM100 juta yang diperuntukkan untuk projek berkenaan merupakan pengumuman daripada Bajet 2023, manakala tambahan RM11 juta menggunakan peruntukan sedia ada.
“Untuk tahun ini kita telah kenal pasti sebanyak 436 klinik daif yang akan dibaik pulih dan setakat ini sebanyak 341 klinik sedang dalam proses pelaksanaan, 91 klinik telah selesai dibaik pulih dan empat lagi klinik masih dalam perolehan.
“Kita terima senarai (klinik-klinik daif) ini daripada Pengarah Kesihatan Negeri dengan jumlah keseluruhan adalah 1,200 klinik, tapi kita lakukan penambaikan secara berfasa dengan tahun ini kita sasar 436 klinik dan tahun depan kira-kira 300 klinik lagi dengan membabitkan kos RM111 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Healthcare Facility Management Conference and Exhibition 2023 di sini semalam.
Menurut Zaliha, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima senarai klinik daif tertinggi di Terengganu iaitu sebanyak 58 klinik, diikuti Negeri Sembilan 44 klinik dan masing-masing 42 klinik di Perak dan Pahang.
Pada 3 Julai lalu, Majlis Tindakan Malaysia Madani (MTMM) memberi tumpuan kepada dua projek baharu iaitu usaha menaik taraf fasiliti daif di bawah KKM dan memperluas pelaksanaan Gerai Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mengambil langkah segera bagi menambah baik 436 fasiliti dan klinik kesihatan di bawah KKM dengan sasaran kesemua fasiliti akan memasuki peringkat pelaksanaan menjelang akhir tahun ini. – UTUSAN










