BUTTERWORTH: Selepas sekian lama menahan diri, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Dr. P. Ramasamy meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pemimpin kanan di dalam DAP yang dirujuk sebagai `maharaja’ .
Ramasamy yang juga bekas Timbalan Pengerusi DAP dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berkata, `maharaja’ menjadi punca krisis yang sedang melanda DAP Pulau Pinang sehingga beliau sendiri mengumumkan keluar parti semalam.
Menurut beliau, kepimpinan parti itu di peringkat Kebangsaan turut dilihat bergantung kepada `maharaja’ berkenaan.
Oleh itu, kata beliau, Chow Kon Yeow walaupun menang Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi ada kemungkinan tidak akan memegang jawatan Ketua Menteri untuk tempoh penuh.
Ini dakwa beliau, tindakan penyingkiran terhadap Kon Yeow akan turut disokong para pemimpin di peringkat nasional.
“Chow (Kon Yeow) mungkin telah (akan) dilantik semula sebagai Ketua Menteri tetapi beliau tidak mempunyai sokongan dalam barisan calon-calon DAP negeri sekarang,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, Ramasamy ahli DAP selama 15 tahun mengumumkan keluar parti yang disertai sejak 2008 selepas digugurkan sebagai calon DAP untuk mempertahankan kerusi DUN Perai yang dimenangi tiga penggal.
Turut mengumumkan keluar DAP bersama Ramasany ialah Timbalan Pengerusi DAP Pahang yang juga bekas ADUN Sabai, A. D.R. Kamache; Naib Pengerusi DAPSY Kebangsaan, Jason Raj dan Penolong Setiausaha DAP Cawangan Taman Inderawasih, K. Krishnasamy.
MENJELANG PRN
Ditanya berhubung kesan terhadap DAP ekoran tindakannya meninggalkan DAP menjelang PRN, Ramasamy berkata, beliau menyerahkan keputusan tersebut kepada pengundi.
Bagaimanapun, beliau mengakui pengundi khususnya masyarakat India sangat marah dengan penggugurannya sebagai calon PRN kerana mereka melihat beliau sebagai jaguh kaum itu khususnya dalam membela nasib golongan miskin.
Dalam masa sama, kata Ramasamy, pengundi India juga mempersoalkan penggugurannya kerana beliau tidak terlibat dalam sebarang isu peribadi atau sebarang skandal seperti rasuah, projek terowong, menjual tanah dan sebagainya.
“Saya buat perpisahan yang jelas dan ketara (yang mana) saya tidak mahu terlibat dalam DAP (lagi). Saya tidak kutuk semua pemimpin di dalam parti atau keseluruhan parti DAP, tetapi saya kutuk pemimpin yang bermaharajalela di dalam parti,” katanya.
Ditanya perancangan, Ramasamy berkata, buat masa ini beliau akan berehat sebelum meneruskan minatnya dalam menghasilkan buku, namun memberi jaminan akan terus aktif dalam politik di peringkat nasional.
Tindakan Ramasamy turut mendapat respons Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berharap Ramasamy terus membantu kerajaan di bawah pendekatan dan gagasan Malaysia Madani.
“Ramasamy sahabat saya.Saya harap beliau dapat mainkan peranan positif dalam membantu kerajaan meneruskan pendekatan Madani,” kata Perdana Menteri selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik di ibu negara semalam.
Sementara itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Kon Yeow berkata, beliau sudah cuba memujuk Ramasamy supaya tidak meninggalkan parti itu.
Bagaimanapun, menurut Kon Yeow, Ramasamy tidak menerima dan menghantar surat keluar parti pagi semalam.
Dalam pada itu, Kon Yeow mengakui tindakan Ramasamy keluar parti sedikit sebanyak akan menjejaskan sokongan kepada DAP pada hari pengundian Sabtu ini.
KECEWA
Di Jelebu, negeri Sembilan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook kecewa dengan keputusan Ramasamy.
Bagaimanapun, menurut beliau, perkara tersebut dijangka dan menganggap tiada mana-mana individu lebih besar daripada parti.
“Saya rasa dukacita apabila seorang pemimpin yang telah banyak diberikan peluang oleh parti, tiga penggal menjadi Timbalan Ketua Menteri, namun apabila tidak diberikan kerusi maka keluar parti, itu saya rasa dukacita.
“Tetapi apapun perjuangan parti akan diteruskan, individu dan pemimpin datang dan pergi yang penting parti kekal kuat, tidak ada mana-mana individu lebih besar daripada parti jadi terpulang kepada beliau,” kata beliau selepas program Santai Minum Pagi Bersama Masyarakat Kampung Chennah semalam.










