PETALING JAYA: “Percayalah bahawa hanya gabungan perpaduan ini yang benar-benar memahami serta serius terhadap setiap permasalahan yang merundung rakyat di negara ini”.
Demikian penegasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri, 12 Ogos ini.
Anwar berkata, kekalahan di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-5 (PRU15) perlu dilupakan dan bangkit pada pilihan raya ini.
“Mengakhiri Jelajah Perpaduan Madani Pulau Pinang malam tadi di Dataran Guar Perahu, Permatang Pauh. Saya salute semangat luar biasa warga Permatang Pauh bagi mendepani Pilihan Raya Negeri kali ini.
“Episod duka yang berlaku di kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum lalu harus kita lupakan dan kita bina semula kekuatan baru bersama rakyat.
“Warga Permatang Pauh dan sekitar harus berubah serta beri mandat jelas pada Pakatan Harapan (PH) -Barisan Nasional (BN) bagi meneruskan usaha baik buat rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Untuk rekod, PRN kali ini melibatkan enam buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Ia bakal menjadi medan untuk menguji penerimaan pengundi terhadap kerjasama BN dan PH, malah menjadi pentas bagi menilai kemampuan Perikatan Nasional (PN) dalam mengekalkan tiga buah negerinya, selain merampas tiga negeri milik PH.-UTUSAN