PRN: Calon Pas DUN Chempaka sedia jumpa Nik Abduh

PRN: Calon Pas DUN Chempaka sedia jumpa Nik Abduh

NIK Bahrum Nik Abdullah semasa sidang akhbar harian PN sempena PRN di Pejabat Perhubungan Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka Nik Bahrum Nik Abdullah bersedia untuk berjumpa dengan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz atau Nik Abduh dalam masa terdekat.

Nik Bahrum berkata, buat masa ini beliau dan isteri sudah bertemu dengan ibu kepada bekas Ahli Parlimen Bachok itu Puan Sri Tuan Sabariah Tuan Ishak di rumahnya.

“Insya-Allah, selepas ini saya akan bertemu dengan beliau (Nik Abduh),” katanya semasa sidang akhbar harian Perikatan Nasional (PN) sempena pilihan raya negeri (PRN) di Pejabat Perhubungan Pas Kelantan di sini hari ini.

Nik Bahrum memberitahu, pada masa sama dia mahu fokus berkempen bagi memastikan Pas berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada PRN kali ini.

Katanya, ketika ini sokongan terhadapnya dan Pas tidak tergugat malah pengundi di DUN Chempaka memberikan kerjasama yang baik.

“Ketika ini saya hanya membawa amanah parti dan fokus kepada berkempen dan tidak mahu terpalit dengan isu Nik Abduh. Hal ini kerana perkara itu sudah di anggap selesai.

“Lagi pun, saya ‘nama teramat kecil’. Ingin saya tegaskan perjuangan ini membawa dasar Pas dan simbol bulan,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, terdapat ura-ura bekas Ahli Parlimen Bachok itu akan bertanding di kerusi DUN Chempaka yang merupakan kawasan Allahyarham bapanya.

Mengukuhkan lagi dakwaan itu, apabila Mursyidul Am Pas Datuk Seri Hashim Jasin mengesahkan bahawa nama Nik Abduh melepasi tapisan Majlis Syura, sekali gus layak menjadi calon parti itu PRN.

Bagaimanapun, nama Nik Abduh terus tercicir daripada arena politik negara selepas namanya tidak tersenarai sebagai calon PRN.

Pada pengisytiharan calon PRN DUN di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV baru-baru ini, Pas turut membuat kejutan selepas menggugurkan penyandang kerusi berkenaan Ahmad Fathan Mahmood dan menggantikan dengan muka baharu iaitu Nik Baharum Nik Abdullah yang merupakan seorang peguam.

Keadaan menjadi lebih panas apabila Nik Din Nik Mat mendakwa Naib Presiden Pas Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah merupakan individu yang menyebabkan nama Nik Abduh tercicir sebagai calon wakil rakyat.

Nik Din yang merupakan adik kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Nik Mat berkata, sebelum itu dia bertemu dengan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 23 Jun lalu di Rusila, Terengganu dan beliau memberi jaminan Nik Abduh akan diangkat sebagai calon.

Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku apabila nama Nik Abduh tidak diumumkan sebagai calon untuk kerusi DUN Chempaka.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya